Pasangan pegawai SPRM dicekup khalwat mohon dibicara secara tertutup

174

 

SHAH ALAM: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan kerana kesalahan berkhalwat memohon dibicarakan secara tertutup pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, Khamis.

Permohonan supaya kes itu dibicarakan dalam kamar dikemukakan peguam bela tertuduh, Fadhlina Sidek dihadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof.

Menurut Fadhlina, permohonan itu dikemukakan kerana kes berkenaan turut melibatkan hal-hal sulit berkaitan negara yang perlu dilindungi memandangkan tertuduh adalah penjawat awam yang berkhidmat di SPRM.

Sebelum itu, tertuduh masing-masing Fikri Ab Rahim, 43, bersama Nur Liza Musa, 35, tiba di mahkamah kira-kira pukul 10.30 pagi.

Sementara itu, pegawai pendakwa, Fairus Jaafar memaklumkan, mereka menghadapi tuduhan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 (1) a & b Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang membabitkan dakwaan khalwat.

Tertuduh didakwa berada bersama pasangan yang bukan mahram di sebuah kondominium di Seri Kembangan, Selangor pada Disember tahun lalu.

Hakim Shukran kemudian meminta tertuduh untuk memfailkan semula permohonan lengkap dan menetapkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 3 Mei ini untuk sebutan semula kes berkenaan dan memutuskan sama ada ia boleh dibicarakan secara tertutup atau tidak.

Kedua-dua tertuduh dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah dalam dua kereta berasingan kira-kira pukul 2.05 petang.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments