Orang utan dirakam hisap rokok bagaikan perokok pro

40

 

BANDUNG – INDONESIA. Rakaman video menunjukkan orang utan menghisap puntung rokok yang dilemparkan ke dalam kurungannya di sebuah zoo di Bandung telah menjadi tular.

Gelagat mamalia spesies Borneo berusia 22 tahun seperti ‘perokok pro’ itu turut menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial.

Semalam, jurucakap zoo terletak kira-kira 150 kilometer di tenggara Jakarta itu berkata, insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana mereka mempunyai kakitangan yang mengawal kurungan haiwan tersebut.

“Staf yang bertugas mungkin ke tandas pada masa itu. Terdapat papan tanda di lokasi tersebut yang menyatakan pengunjung zoo tidak dibenarkan memberi makanan dan rokok kepada haiwan.

“Kami menuntut individu bertanggungjawab tampil memohon maaf kepada umum atas perbuatannya kerana orang utan adalah spesies yang dilindungi,” kata Sulhan.

Jelasnya, mereka sedang mengenal pasti identiti pengunjung tersebut yang mana imejnya dirakam dengan jelas dalam video berdurasi 60 saat itu.

Sementara itu, aktivis pencinta haiwan turut mengutuk tindakan pengunjung terbabit selain mendakwa kelemahan pengurusan zoo terbabit sebagai punca kejadian seumpama itu berlaku.

“Hampir kebanyakan zoo berada dalam keadaan teruk termasuk dari segi pemberian makanan dan penjagaan kesihatan haiwan,” kata pengasas Persatuan Kebajikan Haiwan Indonesia, Marison Guciano.

Pada 2012, insiden serupa juga pernah dilaporkan di zoo lain yang mana spesies sama menjadi penagih nikotin hingga ia dipaksa untuk berhenti daripada perbuatan tersebut.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments