Malaysia cipta sejarah jinak juara Olimpik

50

 

IPOH: Malaysia melakukan apa yang dianggap mustahil apabila mengejutkan juara Olimpik Rio 2016, Argentina, 2-1 dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-27 di sini, sebentar tadi.

Kali terakhir Malaysia berjaya menjinakkan lawannya itu adalah pada temasya Sukan Olimpik 1992 di Barcelona dengan keputusan 6-4. Kejayaan terbaharu ini adalah satu sejarah buat skuad kebangsaan.

Dalam aksi di Stadium Azlan Shah, Muhammad Najmi Farizal Jazlan dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil melakar nama sebagai penyumbang gol negara manakala jaringan tunggal Argentina diperoleh menerusi Diego Paz pada minit ke-32.

Penjaga gol, Hafizuddin Othman dan Hairi Abd Rahman pula bergilir-gilir menjadi wira sebagai penghalang utama Argentina.

 

 

Titik permulaan kepada kemenangan bersejarah skuad negara itu, apabila Hafizudfin menyelamatkan pukulan penalti Juan Gilardi sejurus sebelum tamat suku pertama .

Kejayaannya itu berjaya menyemarakkan semangat juang rakan sepasukan yang kemudian bermati-matian mempertahan kubu Malaysia.

Hairi pula menyelamatkan setengah dozen pukulan sudut penalti, Gonzalo Peillat yang jelas tidak menjadi malam ini.

 

 

Apapun, dalam perlawanan menarik dan dramatik itu semua pemain wajar menerima pujian kerana bermain dengan semangat juang kental.

Berbanding ketika tumpas 1-3 kepada Australia, anakĀ  buah Stephen Van Huizen menunjuk perwatakan mantap untuk mengecewakan lawan lebih ternama itu.

Dengan kemenangan itu, Malaysia mengumpulkan enam mata hasil dua kemenangan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments