Sapok Biki: budak belasahan kepada jaguh tinju

52

Sewaktu kecil dia adalah seorang anak yang cukup pendiam, kurang bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang lain serta tidak aktif bersukan kecuali sekali-sekala bermain sepak takraw.

Disebabkan itu, anak kelahiran Kampung Isu, Simunjan, Serian ini sering menjadi mangsa buli rakan-rakan terutama semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah.

“Ekoran badan saya yang kecil juga mereka kerap menjadikan saya sebagai budak belasahan,’’ kata Sarjan Sapok Biki, 28, dari Rejimen ke-21 Artileri Diraja (21 Artileri) Kem Gemas, memulakan ceritanya kepada penulis.

Menurutnya, tabiat buruk rakan-rakannya itu hanya berubah apabila dia berada di sekolah menengah.

Selepas menamatkan persekolahan, Sapok memohon memasuki rekrut dan bernasib baik kerana terpilih menjalani latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson pada tahun 1993.

Semasa di situ, dia merasakan latihan yang dilalui agak berat dan begitu membebankan.

“Sebab itu selepas empat bulan menjalani latihan saya mencari jalan untuk tidak terbabit dalam sebarang latihan yang begitu memenatkan.

“Yang terfikir oleh saya pada masa itu ialah menyertai pasukan tinju rekrut,” katanya secara jujur.

Bagaimanapun, untuk menyertai pasukan itu, dia perlu menjalani ujian pemilihan terlebih dahulu.

“Ketika itu kami dikehendaki melakukan latihan tumbukan angin dengan bergerak sejauh 100 meter untuk dinilai cara pergerakan tangan dan kaki kami.

“Tak sangka saya berjaya walaupun minat bertinju hakikatnya tidak ada,” katanya sambil tersenyum mengenangkan pembabitan awalnya dalam sukan lasak itu.

Selepas terpilih, dia dibimbing oleh Pegawai Waran II Sanusi yang bertindak sebagai jurulatih sehingga tempoh latihan rekrutmya berakhir dua bulan kemudian.

Memandangkan Sapok dianggap petinju muda berbakat, dia kemudiannya diserap ke 21 Artileri yang ketika itu merupakan pusat kecemerlangan tinju Tentera Darat.

Di Kem Paroi, bakatnya terus digilap oleh beberapa lurulatih lain sehingga terpilih sebagai petinju di bawah Program Jaya 98 yang merupakan program khas kerajaan untuk menyediakan ahli sukan negara yang mantap bagi menghadapi Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada tahun 1998.

Sepanjang empat tahun mengikuti program itu, dia sempat menyertai beberapa latihan pendedahan dan pertandingan sama ada di dalam dan luar negara seperti Thailand, Cuba, Indonesia, Uzbekistan, Kyrgystan dan Kazakhtan.

Kehebatannya sebagai petinju mula menyerlah pada tahun 1994 apabila buat pertama kalinya terpilih mewakili negara ke Kejohanan Walikota Cup di Sumatera, Indonesia.

“Waktu itu saya bertanding kategori berat 45 kilogram dan berjaya memenangi pingat perak,” katanya bangga.

 

“Saat yang paling tidak dapat saya lupakan ialah apabila berjaya memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel selepas mengalahkan Mosses Kinyra dari Kenya.”

 

 

Juara

Pada tahun yang sama, dia turut menyertai Kejohanan Tinju Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan berjaya memenangi pingat emas kategori 48 kilogram atau light flyweight seterusnya menjadi petinju utama kebangsaan.

Sejak itu, dia sering terpilih mewakili negara dalam beberapa kejohanan berprestij seperti Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Sukan Komanwel 1998 di samping empat temasya Sukan SEA.

“Saat yang paling tidak dapat saya lupakan ialah apabila berjaya memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel selepas mengalahkan Mosses Kinyra dari Kenya.

“Pada masa itu juga saya mendapat penghargaan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan memeluknya dalam keadaan saya masih dibasahi peluh,”katanya sambil menganggap itulah saat paling manis dalam hidupnya.

Kemenangan mengejut itu katanya, amat bermakna baginya selepas mengalami pelbagai dugaan sebelum menjulang kejayaan tersebut.

“Orang tidak tahu kesusahan petinju seperti yang saya alami sebelum boleh bergelar jaguh. Banyak pergorbanan dan keperitan yang terpaksa kami tempuhi,” terang Sapok.

Misalnya, tidak ramai yang tahu bahawa tulang hidungnya hancur akibat bertinju.

“Saya juga pernah alami sakit kepala yang teruk kerana terdapat darah beku dalam saluran tertentu di kepala saya sehingga terpaksa menjalani rawatan MRI sebanyak dua kali dan rawatan MRA di sebuah hospital pakar swasta di ibu negara,” jelasnya.

Walaupun kecederaan yang dialaminya semakin pulih, namun Sapok tetap mempunyai kebimbangan terhadap kesihatannya pada masa depan.

Selain itu, di peringkat awal kerjayanya dia turut tidak dapat melupakan peristiwa dibelasah teruk oleh beberapa petinju ternama sama ada semasa pertandingan atau latihan.

“Paling teruk saya dibelasah ialah pada tahun 1995 semasa Sukan SEA ketika bertarung dengan bekas juara dunia kategori 48 kilogram, Samrot Kamsing dari Thailand,” katanya yang memiliki empat pingat perak dari temasya Sukan SEA.

Kini, bapa kepada seorang cahaya mata ini sudah tidak lagi bertinju seperti dahulu sebaliknya bertukar haluan dengan menjadi jurulatih tinju Tiga Divisyen.

“Pada masa itu juga saya mendapat penghargaan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan memeluknya dalam keadaan saya masih dibasahi peluh”

Bertempat di Kem Gemas, Sapok melatih petinju-petinju senior Tentera Darat manakala seorang lagi bekas petinju kebangsaan, Jaiwat Yamun melatih petinju junior.

“Saya sudah puas bertinju. Biarlah saya menjadi jurulatih pula,” katanya yang pernah dua kali terpilih sebagai Olahragawan ATM dan Olahragawan Sarawak.

Keupayaan Sapok sebagai jurulatih kini mula diberikan perhatian selepas petinju pasukan Tiga Divisyen yang diasuhnya berjaya meleburkan dominasi Grup Gerak Khas sebagai Johan Tinju Antara Formasi Tentera Darat selama 13 tahun berturut-turut.

Tentang kerjaya ketenteraannya pula, Sapok gembira kerana dirinya tidak pernah diabaikan oleh ATM. Malah Tentera Darat memberi pengiktirafan yang mengejutkan apabila menaikkan pangkatnya kepada Sarjan selang dua hari dia dipakaikan pangkat Koperal pada 29 September 1999.

“Ini merupakan satu pengiktirafan yang luar biasa dan cukup bermakna,’’ kata Sapok.

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments