Tiong Lai nafi mahu bertanding DUN Sekinchan

17

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan itu turut menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut dan tidak akan berlaku.

“Dakwaan Datuk Jamal Md Yunos adalah mengarut. Saya rasa ini satu perkara yang tidak mungkin berlaku kerana saya sebagai Presiden MCA, kita memang fokus dalam pembangunan negara kita.

“Saya selaku Pengerusi MCA Selangor, saya bertanggungjawab untuk memastikan bahawa persiapan menghadapi pilihan raya umum dilakukan dengan baik,” katanya ketika ditemui pihak media, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu di dalam satu sidang media bahawa Presiden MCA itu dijangka bertanding di DUN Sekinchan.

DUN Sekinchan dimenangi DAP melalui wakil rakyat, Ng Suee Lim selama tiga penggal lalu sejak PRU 2004.

Selain itu, Tiong Lai bagaimanapun menegaskan MCA sudah bersiap sedia untuk membantu kemenangan semula BN di Selangor.

“Saya yakin beliau (Jamal) cuba memastikan bahawa MCA dalam keadaan yang sentiasa bersiap sedia dan kita akan pastikan MCA Selangor berada dalam keadaan itu (bersiap sedia) PRU14. Jadi, tidak timbul persoalan sama ada MCA akan bertanding atau tidak (di kerusi DUN Sekinchan),” katanya.

Ditanya sama ada wujud peluang MCA dan BN untuk merampas kerusi Sekinchan, Tiong Lai optimis bahawa parti itu akan dapat memenangi hati pengundi di kawasan tersebut.

“Ya kami (MCA) sangat fokus. Banyak persiapan perlu dibuat dan kami sangat bangga dan bersyukur kerana ramai ahli MCA di sana. Kira-kira 30 peratus daripada pengundi di sana adalah ahli MCA.

“Jadi, kami sebenarnya sedang berusaha untuk menarik semula sokongan pengundi kepada parti. Kami akan terus mentransformasikan parti untuk jadi parti yang lebih kuat,” ujarnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments