Pelajar tingkatan 2 dicekup curi telefon bimbit di rumah staf sekolah

19

 

PADAWAN – Seorang pelajar lelaki tingkatan dua ditahan polis hari ini selepas disyaki mencuri dua unit telefon bimbit di kediaman staf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Matang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kejadian disedari pengadu selepas mendapati dua unit telefon bimbit milik anaknya hilang pada pukul 1.10 petang.

Menurutnya, pengadu kemudian dimaklumkan oleh warden asrama bahawa tukang cuci sekolah tersebut ternampak suspek masuk ke dalam rumahnya, manakala beberapa rakan subahatnya sedang menunggu di luar rumah.

“Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah itu dengan membuka pintu depan yang kebetulan tidak berkunci.

“Suspek kemudiannya dipercayai masuk ke dalam bilik anak perempuan pengadu yang ketika itu tiada orang berada di rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Aidil memberitahu, anggaran kerugian dianggarkan sebanyak RM1,000.

Jelasnya, bertindak atas maklumat itu, suspek kemudian ditangkap pada pukul 1.30 pagi tadi.

“Hasil soal siasat, suspek memberitahu dia telah menyerahkan dua telefon bimbit itu kepada seorang lagi rakannya dikenali Alan.

“Polis kini sedang giat memburu Alan, manakala suspek yang ditahan reman bagi siasatan lanjut,” ujarnya lagi.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments