“Jelas sekali itu bukan Saya” – Chong Wei

81

JAGUH badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menafikan dirinya terlibat dalam sebuah video seks yang tular yang didakwa miliknya bersama seorang wanita tidak dikenali.

Chong Wei mengakui, ia mungkin disebarkan pihak tertentu sebagai taktik kotor menjatuhkannya, ekoran filem biografi dirinya berjudul Lee Chong Wei: Rise of the Legend bakal ditayangkan di pawagam bulan hadapan.

“Ini tidak masuk akal, kamu sendiri boleh lihat video itu dan sekali pandang kamu boleh tahu itu memang pun bukan saya,” tegas Chong Wei.

 

Jelas pemain kelahiran Pulau Pinang itu lagi, dia mengambil tindakan untuk segera membuat laporan polis kerana berasa perkara tersebut sebagai sudah agak keterlaluan.

“Ramai orang hubungi saya tanya ini tetapi saya hanya ketawa. Namun, saya buat laporan polis mengenai perkara ini di Ibu Pejabat Bukit Aman hari ini,” katanya.

Menurut pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu, dia sebenarnya sudah lali menjadi mangsa tuduhan jahat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat hanya mahu menjatuhkan imejnya.

 

“Pasti akan ada orang yang tidak suka dengan kejayaan yang kamu kecapi dan ini adalah salah satu cara mereka mahu menjatuhkan kamu. Namun, ada masanya ia sudah keterlaluan,” luahnya.

Chong Wei berkahwin dengan bekas pemain badminton negara, Datin Wong Mew Choo pada 2012 lalu dan mereka dikurnakan dua orang anak.

 

 

Dalam pada itu, Chong Wei turut memberikan pandangan berhubung kes dua orang pemain badminton negara yang sedang disiasat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana disyaki terlibat dengan skandal mengatur perlawanan.

“Apa yang saya boleh katakan, ia mencemarkan nama baik negara dan sukan badminton. Mereka mungkin bukan pemain BAM (Persatuan Badminton Malaysia) tetapi mereka masih membawa Jalur Gemilang di dada mereka setiap kali beraksi,”jelasnya.

Ujarnya, kes tersebut sangat memalukan dirinya sebagai pemain senior negara dan berharap BAM mengambil tindakan tegas terhadap kedua-dua pemain yang terbabit.

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments