Dalang sindiket dokumen antarabangsa palsu ditahan

18

 

IPOH – Dalang utama sindiket pemalsuan dokumen antarabangsa yang aktif sejak kira-kira dua tahun lepas, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Ampang, Selangor, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata lelaki berumur 44 tahun itu pakar dalam melakukan pengubahsuaian pasport Indonesia, Bangladesh dan Pakistan.

Beliau pada sidang media selepas majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Khas Jabatan Imigresen di sini hari ini berkata, suspek turut buat pengubahsuaian dokumen buku nikah dan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP).

Beliau berkata lelaki terbabit akan menerima tempahan melalui kenalannya dari Indonesia atau yang berada di Malaysia atau individu dibawa kenalannya sahaja.

“Pasport yang sudah tamat tempoh atau milik orang lain diubah suai mengikut kehendak pelanggan. Suspek juga menyeludup masuk pasport palsu dari Indonesia untuk tujuan pasaran di Malaysia,” katanya.

Mustafar berkata dalam serbuan bermula 10 malam hingga tengah malam tadi, pihaknya menemui antaranya 70 koyakan butiran utama penama pasport Indonesia, 32 pasport Indonesia, enam pasport Bangladesh serta dua pasport Pakistan, kesemuanya disyaki diubah suai.

Sejumlah cop keselamatan negara Indonesia disyaki palsu (cop keluar, cop masuk, cop kedutaan Indonesia); cop keselamatan Imigresen Malaysia iaitu cop masuk dan keluar Malaysia disyaki palsu serta cop keselamatan Singapura disyaki palsu juga dirampas, katanya.

Beliau berkata suspek mendapatkan bekalan pasport dan buku nikah dari Madura, Indonesia yang diseludup masuk secara berperingkat iaitu tiga hingga lima naskah bagi setiap perjalanan yang dibantu rakan senegaranya.

Menurutnya, satu pasport kosong yang dipalsukan dijual pada harga RM50, manakala selepas diproses sekitar RM200 hingga RM300 di pasaran Malaysia.

“Suspek juga menerima tempahan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dijual dengan harga RM50 hingga RM150 sekeping.

“Suspek mendapat bekalan pelekat PLKS daripada satu sindiket pemalsuan dokumen yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dengan harga RM30 sekeping,” katanya sambil menambah buku nikah kosong palsu dijual RM60 manakala yang diproses mencecah sehingga RM100.

Mustafar berkata dalang utama sindiket terbabit melakukan pengubahsuaian dokumen secara manual atau tradisional tanpa menggunakan peralatan canggih.

“Suspek menjadikan rumah sewanya sebagai pusat operasi dan pelanggan boleh terus ke rumahnya bagi membuat tempahan. Tempoh untuk menyiapkan satu dokumen adalah sekitar empat hingga 24 jam bergantung kepada stok bekalan,” katanya.

Anggaran jumlah keuntungan yang diperoleh suspek sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan manakala purata keuntungan sepanjang tempoh menjalankan kegiatan itu hampir RM80,000, katanya.

“Kita percaya akan ada lagi tangkapan membabitkan individu yang membantu dalang berkenaan,” katanya.

Mustafar menegaskan pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan kegiatan seumpama iti yang boleh menggugat kedaulatan dan keselamatan negara.

“Jabatan Imigresen akan mengenakan tindakan tegas terhadap pelaku atau sindiket yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 atau Akta Pasport 1966,” katanya.

Pada program itu, 40 peserta tamat latihan, dan 20 daripadanya akan ditempatkan di Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya dan selebihnya di negeri-negeri mempunyai risiko keselamatan yang tinggi.

Pasukan Khas Jabatan Imigresen itu merupakan sebuah pasukan elit untuk menangani ancaman dalam serbuan berisiko tinggi melibatkan kegiatan jenayah rentas sempadan antaranya penyeludupan migran dan sindiket pemalsuan dokumen keselamatan jabatan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments