Baju Wany-Haqiem dikecam, Mirol pertahan rekaan

    153

    Pereka muda, Mirol kesal apabila pakaian yang dipakai penyanyi, Wany Hasrita dan Haqiem Rusli pada malam Anugerah Juara Lagu Ke 32 (AJL32) Ahad lalu menjadi bahan jenaka di laman sosial.

    Memetik kenyataannya dalam laporan Mstar Online, bukan mudah untuk beliau menghasilkan rekaan yang sesuai dan sopan buat penyanyi lagu Menahan Rindu itu.

    Katanya, beliau hanya mereka busana mengikut keselesaan dan kesesuaian si pemakai dan bukan sekadar tangkap muat mahupun mengikut kehendaknya sendiri.

    “Untuk hasilkan busana itu saya mengambil masa yang lama. Bukan semudah yang disangka. Saya bukan sekadar reka untuk tangkap muat atau ikut suka hati.

    “Baju itu direka mengikut kesesuaian lagu dan pemakai itu sendiri iaitu Wany. Apa yang penting busana itu masih sopan, menutup bahagian dada dan pinggulnya.

    “Yang pasti, Wany selesa memakai busana itu dan pihak pengurusannya juga sukakan rekaan baju saya,” kata Mirol atau nama sebenarnya, Mohd Amirul Md. Jonit.

    Sementara itu selain Wany, persalinan yang digayakan oleh Haqiem turut menerima kritikan daripada pengarah drama, Michael Ang.

    Menerusi satu entri di akaun Instagram milik Michael, pengarah itu mempersoalkan busana yang digayakan oleh pelantun lagu Tergantung Sepi itu tidak tumpah seperti hero drama India yang sedang membuat penggambaran di Malaysia.

    “By the way siapa la stylist budak ni? Nyanyi ada orang sign language kat belakang, penyanyi pakai macam hero cerita India gengster yang shoot kat Malaysia tu. Salah konsep!” tulis Michael.

    Mirol bagaimanapun tidak mudah melatah dengan provokasi itu sebaliknya menganggap setiap orang mempunyai pendapat yang tersendiri.

    “Setiap orang mempunyai pendapat masing-masing. Saya tak ada masalah dengan sesiapa yang mahu memberi kritikan.

    “Sama juga macam Wany, Haqiem pun teruja untuk menggayakan baju itu,” kata Mirol yang juga merupakan graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang fesyen.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments