Konstabel ditahan cabul gadis, ugut pasangan kekasih

42

 

SERI ISKANDAR: Konstabel polis berusia 29 tahun ditahan bagi membantu siasatan dakwaan cabul dan peras ugut pasangan kekasih di Jalan Parit- Seri Iskandar, di sini, semalam.

Anggota polis yang sudah bertugas di Balai Polis Parit selama dua tahun itu ditahan jam 9 malam tadi selepas pasangan itu membuat laporan di Kuala Kangsar, jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata berdasarkan laporan, pasangan kekasih berusia 20 tahun itu, yang juga penuntut di sebuah pusat latihan kemahiran, di sini mendakwa diperas ugut sebanyak RM700 oleh anggota polis terbabit.

Malah, katanya, mangsa wanita mendakwa diraba di bahagian kemaluan oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai polis.

Katanya, kejadian peras ugut dan cabul itu dikatakan berlaku selepas pasangan kekasih terbabit ditahan seorang anggota polis selepas didapati berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian didakwa berlaku susulan pasangan kekasih terbabit yang dikesan melakukan kesalahan ketika berada dalam kereta jenis Proton Savy yang berhenti ditepi jalan.

“Seorang anggota polis yang di luar waktu bertugas dan tanpa pakaian seragam dipercayai kebetulan melalui kawasan terbabit. Dia bertindak memeriksa pasangan berkenaan dan mendapati ada perlakuan salah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, pasangan berkenaan mulanya diminta mengikut anggota itu ke balai, namun kemudian membawa pasangan itu ke sebuah restoran bagi berbincang.

“Anggota polis berkenaan didakwa meminta RM700 daripada pasangan terbabit sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan dilakukan. Mereka diberi tempoh dua minggu untuk membuat bayaran itu.

Mohamad Zainal berkata, anggota polis itu juga dikatakan menyuruh mangsa lelaki supaya pulang terlebih dahulu dan dia akan menghantar mangsa wanita yang juga seorang penuntut di sebuah institusi kemahiran di Perak Tengah ke tempat tinggalnya.

“Polis berkenaan kemudian dikatakan menghantar pulang penuntut wanita terbabit ke pusat latihan kemahiran, bersendirian menaiki kereta jenis Honda Civic. Dalam perjalanan itu, dia didakwa meraba kemaluan wanita terbabit,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, anggota polis berkenaan yang masih bujang itu kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 dan 385 Kanun Keseksaan kerana cabul dan peras ugut.

Polis turut merampas kereta Honda Civic anggota berkenaan bagi tujuan siasatan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments