Filem kisah Mona Fandey ‘bocor’ di internet

    21

    Tidak pernah ditayangkan sebelum ini, Filem ‘Dukun’ arahan Dain Said yang ditangguh tayangannya pada tahun 2007, kini ‘bocor’ di internet.

    Filem penuh berdurasi 1 jam 35 minit itu dikatakan tersebar dan boleh ditonton orang ramai di laman sosial Facebook sejak beberapa hari lalu.

    Insiden tersebut nyata mengejutkan banyak pihak dan menimbulkan persoalan tentang bagaimana filem yang menjalani penggambaran pada tahun 2006 itu boleh tersebar.

     

     

    Perkara tersebut dipandang serius Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang kini sedang mengambil beberapa pendekatan bagi menangani isu tersebut.

    Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob dalam satu kenyataannya berkata pihaknya berharap dalang perkara ini sedar tindakan yang telah dilakukan ini adalah salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan hukuman.

    “Sebelum ini, FINAS sudah mengambil inisiatif penting bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia.

    “Ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Membanteras Cetak Rompak Digital sebagai sinergi bersama menangani isu filem di pawagam yang dimuat naik ke laman sesawang oleh individu tidak bertanggungjawab.

    “Bagaimanapun, kita perlu maklumat lanjut memandangkan ia melanggar isu hak cipta dan harta intelek.  FINAS berharap pengguna sedar tindakan menyebar dan memuat turun kandungan adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.

     

     

    Filem yang menampilkan Datin Paduka Umie Aida ini pernah mencetuskan kontroversi serta menjadi bualan hangat kerana diadaptasi daripada kes pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan ahli politik, Datuk Mazlan Idris dan Mona Fandey yang didakwa mengamal ilmu hitam.

    Filem yang turut melibatkan pelakon hebat iaitu Namron, Hasnul Rahmat, Nadiya Nissa, Bront Palarae, Elyana, Faizal Hussein dan lain-lain ini telah dipromosikan kepada umum, namun gagal mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF).

    LPF tidak meluluskan filem tersebut atas alasan jalan ceritanya yang menimbulkan kontroversi selain dikatakan menyinggung perasaan keluarga pihak yang berkenaan.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments