Hafizh 100 peratus sah ke MotoGP

55

 

KUALA LUMPUR: Pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengesahkan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah akan menyertai Monster Yamaha Tech3 secara musim penuh dalam kelas MotoGP meskipun prinsipal pasukan, Herve Poncharal masih ‘berteka-teki’ mengenainya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali yang menjadi tulang belakang kepada penyertaan Hafizh di MotoGP – spekulasi yang bertiup kencang sebelum ini adalah benar dan bagi pihaknya, impian untuk melihat kelibat pelumba negara di kelas perdana itu kini menjadi realiti.

“Bagi saya, Herve (Poncharal), Dorna dan Yamaha, (penyertaan Hafizh di MotoGP) 100 peratus sah,” kata Razlan yang pada ujian rasmi MotoGP di Sepang baru-baru ini mengadakan pertemuan bersama Poncharal dan pihak pengurusan Dorna bagi membincangkan penyertaan Hafizh di MotoGP pada tahun 2019 dan 2020.

Dalam pertemuan itu, Razlan berkata, Poncharal bersetuju menawarkan tempat buat Hafizh di MotoGP dan sebaik saja selepas itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta turut menyatakan persetujuan penuh.

Razlan juga berkata, pihak Yamaha turut menyatakan persetujuan 100 peratus dan memilih Hafizh sebagai calon utama bagi menggantikan tempat dikosongkan Jonas Folger.

“Ada tiga nama termasuk Hafizh dan tanpa perbincangan lanjut, Yamaha Jepun memilih Hafizh dan mereka juga sudah berbincang dengan Yamaha Hong Leong (Malaysia), Thailand dan Indonesia, di mana mereka bersetuju Hafizh menjadi pelumba pasukan untuk tahun ini,” kata Razlan.

Razlan turut menyatakan beliau akan ke Buriram untuk tindakan lanjut mengenai kontrak dan sebagainya bersama pasukan berpangkalan di Perancis itu.

Namun, Poncharal dalam laman web rasmi MotoGP hari ini berkata, pasukannya akan menilai Hafizh bermula di ujian rasmi di Buriram nanti dan keputusan muktamad mengenai pelumba keduanya hanya akan dibuat selepas itu.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments