Polis buru lelaki raba budak perempuan di ‘fun fair’

83

 

SUNGAI PETANI: Polis memburu seorang lelaki dalam klip video yang viral di media sosial, memaparkan tindakannya yang disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata suspek yang juga kenalan kepada keluarga kanak-kanak perempuan itu dikatakan melakukan perbuatan itu antara jam 11 malam hingga 1 pagi semalam ketika membawa mangsa ke tapak pesta di Taman Ria, di sini.

Beliau berkata, perbuatan suspek hanya disedari ibu mangsa selepas menyaksikan klip video yang tersebar melalui Facebook sebelum tampil membuat laporan polis.

Berdasarkan klip video itu, lelaki terbabit dilihat memeluk kanak-kanak perempuan berkenaan yang berada di atas pangkunya, sambil tangannya berada di dalam baju mangsa.

Saifi berkata, ibu mangsa mengesahkan sebelum kejadian suspek datang ke rumahnya di Sungai Lalang, di sini dan meminta kebenaran untuk membawa kanak-kanak itu keluar bagi membeli makanan di Taman Bandar Baru, di sini.

“Mangsa hanya dihantar pulang ke rumah oleh suspek kira-kira jam 1 pagi, …ibu mangsa yang menyedari perbuatan suspek melalui klip video yang tersebar bertanya kepada lelaki itu dan suspek mengaku melakukannya serta memohon maaf.

“Susulan laporan diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda jam 2.50 pagi semalam, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya di sini, hari ini.

Saifi berkata siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang hubungan dengan keluarga mangsa, kecuali sebagai kenalan.

“Polis kini sedang mengesan suspek untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments