Lelaki ditahan lepas rancang samun diri sendiri di Ipoh

19

 

IPOH – Seorang lelaki ditahan polis selepas melakukan rancangan samun ke atas diri sendiri dalam kejadian di Greentown Business Centre di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 9.30 pagi itu, lelaki yang merupakan pekerja sebuah kedai serbaneka 24 jam berusia 23 tahun itu dipercayai menyuruh dua rakannya yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 meragut beg yang disilang di badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, lelaki tersebut datang sendiri ke Balai Polis Sungai Senam bagi membuat laporan berkaitan kejadian samun tersebut.

“Suspek memaklumkan dia mengalami kerugian selepas wang tunai RM3,060 milik syarikat bersama dokumen peribadi, telefon bimbit jenama Samsung J Pro 5 serta wang tunai RM200 miliknya diragut dua lelaki.

“Dia cuba melawan kedua-dua mereka namun tidak berjaya dan mereka terus melarikan diri,” katanya..

Tambah Mohd. Ali, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut telah dirancang suspek dan dia sendiri menyuruh dua rakan meragutnya ketika dalam perjalanan ke bank.

“Polis menahan suspek dan dua lagi rakannya yang berusia 24 dan 22 tahun di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar Ipoh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments