Wang RM40 juta ditemui disembunyi dalam dinding rahsia

19

 

Beijing: Anggota polis yang menyerbu dua pangsapuri susulan siasatan satu kes penipuan terkejut selepas menemui wang tunai berjumlah 64 juta yuan (RM40 juta) yang disembunyikan di dalam dinding.

Satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan timbunan wang tunai ditemui disembunyikan di dalam dinding dua kediaman di daerah Ningjiang di wilayah Jilin.

Dalam video itu, sejumlah wang tunai disusun rapi di kiri dan kanan dinding itu manakala di tengahnya dipenuhi timbunan wang.

Pihak polis memberitahu, serbuan itu dilakukan pada 10 dan 12 Januari lalu di dua rumah di daerah berkenaan.

Ketika serbuan dibuat pihak berkuasa curiga dengan ubah suai di dinding berkenaan dan bertindak memecahkannya sebelum menemui wang tunai berkenaan.

Empat individu termasuk seorang wakil undang-undang ditangkap polis untuk siasatan lanjut.

Central China Television melaporkan, polis pada mulanya menyiasat sebuah syarikat baja yang dikenali sebagai Shuang Fei yang membeli hutang dari individu dan syarikat kecil pada harga yang rendah.

Namun, syarikat itu gagal membayar semua hutang yang dibelinya.

Polis kemudian menubuhkan satu pasukan penyiasat dan mengekori lelaki dikenali sebagai Wei yang juga wakil undang-undang syarikat berkenaan.

Siasatan utama menjuruskan kepada aliran wang tunai syarikat itu dan ke mana Wei memindahkan wang selepas mengeluarkannya dari bank.

Menurut polis, selepas dikira semua wang tunai yang dirampas di dua rumah berkenaan berjumlah lebih 64 juta yuan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments