Ronaldinho gantung but

50

 

Sao Paulo: Bekas pemain tengah Brazil dan Barcelona Ronaldinho, yang memenangi Piala Dunia, Liga Juara-Juara, Copa Libertadores dan Pemain Terbaik Tahunan Dunia bakal bersara daripada sukan itu, kata abang dan juga ejennya Assis hari ini.

Ronaldinho tidak bermain dalam sebarang perlawanan kompetitif sejak 2015 tetapi mengelak daripada menyifatkannya sebagai pengakhiran kariernya sehinggalah sekarang.

“Dia sudah berhenti. Semuanya berakhir,” kata kepada akhbar Rio de Janeiro O Globo.

“Kami akan melakukan sesuatu yang hebat, selepas Piala Dunia Russia, mungkin pada Ogos.”

Menurut Assis acara berkenaan yang lebih bersifat perlawanan perpisahan, akan diadakan di Brazil, Eropah dan Asia, malah mungkin membabitkan pasukan kebangsaan.

Ronaldinho, yang akan menyambut ulang tahun ke-38 Mac ini, memulakan kariernya di Gremio dan mewakili tujuh kelab lain termasuk Paris Saint-Germain, AC Milan, dan Queretaro serta kelab Brazil Flamengo, Atletico Mineiro dan Fluminense.

Namun ketika bersama Barcelona dari 2003 hingga 2008, dia mencatat detik gemilang, mempamerkan aksi membanggakan kelab Sepanyol itu dan paling diingati kemenangan 3-0 ke atas Real Madrid di Bernabeu pada 2005.

Dia kemudiannya membantu kelab Catalan itu menjuarai Liga Juara-Juara pada 2006, La Liga pada 2005 dan 2006 serta menerima anugerah Ballon D’Or pada 2005.

Ronaldinho mewakili Brazil sebanyak 101 kali, menjaringkan 35 gol termasuk sepakan percuma sejauh 40 ela (36 meter) yang menumbangkan England pada Piala Dunia 2002. – Reuters

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments