Pelajar sekolah dakwa diculik geng van putih di Pandan Indah

27

 

SEORANG pelajar berusia 13 tahun mendakwa diculik ‘van putih’ ketika menunggu bas di Pandan Indah di sini, 12 tengah hari Jumaat lalu.

Kejadian berkenaan tular di laman sosial mendakwa pelajar tingkatan satu itu berjaya melepaskan diri dengan menggigit tangan penculik 10 minit kemudian.

‎Berdasarkan laporan polis dibuat, dua lelaki menarik mangsa ke dalam van dan terdapat seorang lagi lelaki yang memandu van itu.

‎Selepas 10 minit perjalanan, mangsa menggigit tangan lelaki yang berada di sebelahnya sebelum pemandu van memberhentikan kenderaan.

‎Sebaik membuka pintu sisi, mangsa menendang pemandu van dan melarikan diri sebelum menaiki bas ke sekolah.

Mangsa yang mengalami luka di tangan kanan memaklumkan kejadian itu kepada pihak sekolah sebelum laporan polis dibuat.

‎Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, namun masih belum dapat memastikan kesahihan kejadian.

‎”Pihak kami masih menyiasat dan sehingga kini tiada saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dapat membantu.

‎”Luka yang dialami tiada kaitan dengan kejadian culik. Bagaimanapun, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya. – Metro

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments