Lelaki ugut bunuh jandanya lepas cemburu ada kekasih baru

41

 

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki bagaikan hilang pertimbangan sehingga sanggup mengugut mahu membunuh bekas isteri bersama kekasihnya dipercayai cemburu selepas mengetahui wanita itu mempunyai teman lelaki baru, dalam kejadian Isnin lalu.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 31 tahun berada di tempat kerjanya di sebuah restoren Gong Badak, Kuala Nerus, sebelum dikejutkan dengan kehadiran bekas suaminya dalam keadaan marah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, lelaki berusia 39 tahun mengamuk sebelum memaki hamun wanita itu dipercayai tidak berpuas hati kerana sudah mempunyai kekasih selepas beberapa bulan mereka bercerai.

“Suspek semakin naik hantu setelah ternampak teman lelaki baru mangsa yang juga bekerja di tempat sama sebelum bertindak mengugut akan membunuh mereka kerana rasa tidak puas hati terhadap hubungan itu tidak akan habis.

“Suspek dikatakan terus mengamuk tanpa menghiraukan orang di sekelilingnya, bagaimanapun hanya melarikan diri sejurus ternampak kehadiran ketua unit keselamatan yang bertugas,” katanya ketika dihubungi.

Idris berkata, mangsa mendakwa ini merupakan kali ketiga dia bersama kekasihnya diugut hendak dibunuh yang mana sebelum ini suspek ada menghantar ugutan melalui peti pesanan ringkas dan peti suara ke telefon bimbitnya.

Disebabkan itu juga, Idris berkata, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut kerana bimbang akan keselamatan diri bersama pasangannya pada masa akan datang selain merasa tidak selesa dengan gangguan suspek.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments