Timbalan Pengarah JPJ Kedah kemalangan

43

 

SLIM RIVER: Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dan pemandu jabatan itu cedera apabila kenderaan pacuan empat roda mereka terbalik di Kilometer 366.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, jam 3.50 petang semalam.

Timbalan Pengarah berkenaan, Jamaludin Sharif, 59, cedera pada lutut dan kaki kanan, manakala pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner, Mohd Sayuti Abdullah, 33, cedera di bahu kanan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Putrajaya untuk pulang ke Kedah.

Katanya, kenderaan mangsa hilang kawalan ketika melalui kawasan air bertakung menyebabkannya terbabas ke kiri lebuh raya.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments