Kereta dipecah lepas pemandu Grab disangka teman lelaki hantar gadis - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Tue, Jan 9th, 2018

Kereta dipecah lepas pemandu Grab disangka teman lelaki hantar gadis

 

Lelaki yang juga pemandu Grab kerugian RM3,000 selepas cermin Nissan Almera dipecah sekumpulan lelaki ketika menghantar penumpang perempuan di flat Taman Arbi, Tabuan di Kuching, awal pagi.

Dalam kejadian 3.40 pagi itu, mangsa tiba di kawasan berkenaan untuk menghantar wanita berusia 20-an yang menggunakan perkhidmatannya dari pusat beli belah di bandar ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Fir, 26, berkata, beliau menerima tempahan daripada wanita terbabit menerusi aplikasi Grab beberapa minit sebelum itu untuk dihantar ke flat Taman Arbi.

Menurutnya, sepanjang perjalanan, tiada sebarang perlakuan mencurigakan dilakukan wanita terbabit dan hanya berbual kosong.

“Sebaik tiba di kawasan flat berkenaan, saya lihat lima hingga enam lelaki berusia 20-an sudah berada di sana bersama spanar dan besi memerhatikan kereta saya,” katanya kepada Harian Metro.

Fir berkata, seorang daripada mereka dipercayai abang wanita terbabit kemudiannya menghampiri kereta sebelum menghemburkan kata kesat kerana beranggapan Fir adalah teman lelaki penumpang yang dibawanya.

Katanya, lelaki terbabit berang kononnya membawa adiknya sehingga awal pagi sehingga berlaku pertengkaran walaupun sudah dijelas beliau hanya pemandu Grab yang menerima tempahan untuk menghantar wanita itu ke destinasi yang diinginkan.

“Lelaki terbabit yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol juga meminta wang sebanyak RM20 daripada saya kononnya sebagai balasan sekiranya mahu dilepaskan keluar dari kawasan berkenaan, namun saya enggan menyebabkan mereka menghentak cermin depan dan sisi menggunakan besi dan spanar berulang kali sehingga pecah dan retak,” katanya.

Tambahnya, keadaan semakin tegang menyebabkan dia terus memecut Nissan Almera miliknya keluar dari kawasan berkenaan dan terus membuat laporan polis di Balai Polis Tabuan Jaya.

Fir berkata, ini adalah kejadian pertamanya diserang sejak menjadi pemandu Grab Oktober lalu demi mencari sesuap nasi sementara menunggu tawaran kerja yang lebih baik.

“Kejadian ini sememangnya tidak diduga kerana hasrat untuk mencari rezeki disalah erti oleh individu lain dan nyaris mengancam nyawa sekiranya saya tidak melarikan diri dari kawasan berkenaan,” katanya.

Fir juga mengingatkan rakan pemandu lain supaya lebih berhati-hati sekiranya berdepan dengan individu sedemikian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – Metro

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (14)