Gara-gara cinta tak restu, lelaki mati ditikam di Perak

45

 

SLIM RIVER: Masalah cinta dipercayai punca pergaduhan hingga menyebabkan seorang lelaki maut ditikam di Taman Slim Permai di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Roslli Zulkharnain Kamaruddin, 30, parah akibat tikaman pada perut dan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Difahamkan, suspek berusia 47 tahun yang tinggal di Trolak dipercayai menjalin hubungan cinta dengan seorang ahli keluarga mangsa namun ianya tidak direstui.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat pertelingkahan antara suspek dan mangsa.

“Dalam kejadian itu suspek yang berusia 47 tahun turut parah pada bahagian belakang kepala dan tidak sedarkan diri akibat dihentak di atas jalan raya. Mangsa pula cedera di perut akibat ditikam dengan pisau.

“Kedua-dua mereka (mangsa dan suspek) dihantar ke Hospital Slim River menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mendapatkan rawatan,” katanya di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Katanya, selain suspek dua lagi anggota keluarga mangsa masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 38 dan 35 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas sebilah pisau dan dua telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ditanya maklumat mengenai kejadian berpunca daripada cinta terhalang, Wan Kamarul Azran enggan mengulas mengenainya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments