Liridon terima tawaran Angers?

47

 

ALOR SETAR: Peminat skuad Kedah terkejut apabila sebuah portal berita di luar negara mendakwa pemain import sensasi kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi bakal menerima tawaran dari kelab Angers di Perancis.

Menurut maklumat yang diperoleh dari laman web telegrafi.com, pemain tengah Kedah itu akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin kelab berkenaan di Perancis bersama ejennya dalam masa terdekat ini.

Laporan itu juga menyebut masa depan Liridon bersama Kedah pasti tidak berpanjangan sekiranya dia menerima tawaran yang dikemukakan kelab berkenaan.

Kelab Perancis itu juga dilaporkan sanggup membayar yuran perpindahan kira kira STG500,000 (RM2.4 juta) kepada Kedah bagi membolehkan pemain itu beraksi di Ligue 1.

 

 

Maklumat juga menyatakan sekiranya persetujuan berjaya dicapai maka Liridon bakal menjadi lawan yang sukar untuk pemain terkenal Brazil, Neymar yang mempunyai skil bertaraf dunia dan beraksi untuk Paris Saint Germain (PSG).

Liridon juga pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan Kosovo dan pernah bersama kelab Mlada Boleslav di Republik Czech serta kelab Osmalispor dan Fethiyesppor di Turki.

Liridon mula menyertai Kedah pada 2015 dan kontraknya bakal berakhir hujung musim ini.

Dia cemerlang membantu Kedah menjuarai Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016, Piala Sumbangsih dan Piala FA musim lalu.

Selain menjaringkan banyak gol untuk Kedah, dia juga pernah memenangi anugerah Pemain Import Terbaik dan Pemain Import Paling Popular 2017.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments