AGM PPBM pertama tidak ikut perlembagaan parti

41

BONGKAR… Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) digesa buat siasatan terhadap mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam pada Sabtu lalu.

Perkara ini didedahkan Ketua Bahagian PPBM Bahagian Temerloh, Amerus Che Onn sekali gus bersetuju reaksi bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman yang mendakwa ia juga tidak mengikut perlembangaan parti.

Beliau seterusnya mendakwa, AGM sulung pada hujung minggu lalu itu dilihat ‘syok sendiri’ kerana hanya memperjuangkan kepentingan individu tertentu dan tiada inisiatif untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti.

“Perwakilan AGM dipilih tidak dibuat ikut perlembagaan. Tiada AGM di peringkat cawangan dan bahagian untuk memilih perwakilan hadir AGM. Selain itu, AGM Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi juga tiada!

“Saya rasa kami berjaya ditipu dan dipermainkan. Maka, saya mendesak pihak RoS untuk buat siastan terperinci berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di RoS di Putrajaya pada Selasa.

PPBM terpaksa mengadakan AGM pertama yang hanya dihadiri 941 perwakilan daripada sejumlah 137 bahagian di Pusat Konvensyen Ideal selepas diberikan amaran tegas oleh pihak RoS termasuk pembatalan parti tersebut.

Amerus selanjutnya berkata bahawa AGM pertama itu hanya memberi tumpuan kepada pimpinan tertentu sahaja manakala perwakilan bahagian pula tidak diberi hak untuk menyuarakan pandangan secara bebas.

“Matlamat sebenar penubuhan PPBM terbukti sudah tidak lagi wujud kerana pucuk kepimpinan tertinggi hanya memperjuangkan kepentingan individu sehingga isu dalaman parti sendiri pun tidak diselesaikan,’ katanya.

Sehubungan itu, Amerus mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk segera meletakkan jawatan sebagai pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan kerana tokoh berusia hampir seabad itu hanya memperjuangkan kepentingan peribadi.

Sebelum ini, pihak RoS telah memberi amaran keras kepada PPBM kerana sudah melakukan tiga kesalahan serius termasuk tidak pernah mengadakan AGM selepas lebih setahun ditubuhkan daripada serpihan UMNO.

Parti pembangkang itu juga dikesan menubuhkan sayap Pemuda dikenali Armada dan menangguhkan AGM tanpa ada peruntukan dalam perlembagaan parti hingga boleh menyebabkan ia dibatalkan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments