Caruman KWSP kembali 11% tahun depan

48

 

KUALA LUMPUR: Kadar berkanun caruman syer pekerja Kumpulan wang Simpanan Pekerja (KWSP), akan kembali kepada kadar asal pada 11% bagi ahli berumur kurang daripada 60, dan 5.5% bagi mereka yang berusia melebihi 60 tahun, berkuat kuasa upah atau gaji Januari 2018 bagi caruman Februari 2018.

Dalam kenyataan hari ini, KWSP berkata majikan perlu memastikan amaun caruman yang betul dipotong daripada upah atau gaji pekerja dan meremitkannya kepada KWSP berdasarkan kadar caruman yang baharu.

“Kadar caruman pekerja dan majikan boleh dirujuk di Jadual Ketiga Akta KWSP 1991,” katanya.

Kerajaan mengumumkan pengurangan kadar sumbangan pekerja pada 2016, semasa pembentangan Semakan Semula Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Oleh itu, KWSP berkata pengurangan kadar sumbangan berkanun syer pekerja kepada 8% yang bermula pada Mac 2016, berakhir bulan ini.

Ia berkata ahli yang ingin mencarum melebihi kadar berkanun 11% atau 5.5%, boleh mengemukakan Borang KWSP 17A(AHL) atau Borang KWSP 17AA(AHL).

Untuk maklumat lanjut, ahli dan majikan boleh melayari www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau mengunjungi cawangan KWSP terdekat.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments