Tikam, gilis BMW: Ingatkan gaduh biasa, kata pekerja stesen minyak - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Mon, Dec 18th, 2017

Tikam, gilis BMW: Ingatkan gaduh biasa, kata pekerja stesen minyak

Foto Rohani Alam Shah.

 

JOHOR BAHRU: Saksi kejadian seorang lelaki maut diserang sebelum digilis kereta di stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini malam tadi, tidak menyangka suspek tergamak bertindak demikian.

Pekerja stesen minyak yang mahu dikenali sebagai Ismail, 53, menyedari pergaduhan berlaku selepas terdengar suara wanita menjerit dalam bahasa Mandarin.

“Saya ingatkan ia pergaduhan biasa sebelum mendengar bunyi letupan. Saya terus berlari ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku.

“Tak lama selepas itu saya nampak sebuah kereta BMW melanggar mangsa dan pemandunya mengundurkan kenderaan lalu menggilis mangsa,” katanya ketika ditemui BH di lokasi kejadian, hari ini.

Tinjauan BH mendapati pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan di kawasan kejadian.

Ismail kemudian melihat kereta BMW itu memecut ke arah Jalan Serampang di sini, manakala mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, ketika dihubungi berkata, polis belum menahan suspek.

“(Suspek) belum ditangkap,” katanya ringkas ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Azman Ayob, mengingatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat palsu dan tidak sahih berhubung kejadian.

“Maklumat kononnya sudah ada tangkapan tidak tepat dan hentikan menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 malam tadi, mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 30-an maut selepas disyaki ditikam ketika mengisi angin tayar dalam pergaduhan di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian dada.

Sebelum kejadian, mangsa bersama isterinya seorang warga asing berusia 20-an menaiki kereta jenis Volkswagen Polo berhenti di stesen minyak terbabit untuk mengisi angin tayar kereta. – BHarian

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (10)