Saya hanya mahu menyanyi - Aishah - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Mon, Dec 18th, 2017

Saya hanya mahu menyanyi – Aishah

 

ISKANDAR PUTERI: Meraih gelaran juara musim keempat Gegar Vaganza (GV4), penyanyi Janji Manismu, Aishah berharap pengorbanannya ‘bertarung’ lapan minggu dalam program realiti itu, dapat memberinya ruang untuk terus berkarya.

Mengalahkan lima peserta lain termasuk saingan sengit Liza Hanim dan Hazami, Aishah menyifatkan kejayaan merangkul gelaran juara memberi makna yang cukup besar dalam kerjaya seninya selama 30 tahun.

“Saya hanya mahu beryanyi. Selama ini, kalau menyebut nama saya pun, orang akan ingat saya sebagai penyanyi.

“Tidak dinafikan, kemenangan ini memberikan makna yang cukup besar. Saya harap peluang akan terus diberi untuk saya menghiburkan peminat dalam semua ruang dan medium yang ada.

“Nilailah seseorang itu berdasarkan bakat dan bukannya perkara lain,” katanya kepada BH Online ketika ditemui selepas konsert akhir GV4 di Pinewood Iskandar Malaysia Studio, Iskandar Puteri Johor Bahru, malam tadi.

Pada pentas akhir itu, Aishah menyampaikan lagu All By Myself nyanyian asal Celine Dion sebagai lagu tugasan solo dan Supergirls untuk segmen battle.

Selain Liza Hanim dan Hazami, GV4 disertai Firman, Lan dan Tia Jinbara.

Aishah berkata, sejak menyertai program realiti itu, semakin banyak tawaran membuat persembahan diterima.

“Undangan untuk membuat persembahan semakin banyak diterima. Apa yang menggembirakan, ada pihak sudah merisik untuk menawarkan saya mengadakan konsert di Singapura.

“Peminat pula semakin ramai. Saya terkejut apabila ramai kanak-kanak mula mengenali saya. Lucu apabila saya ke masjid, mereka memanggil nama saya Aishah.

“Sekarang ini, kalau berjalan ke mana-mana, memang ramailah yang nak selfie. Saya layankan saja,” katanya.

Ditanya mengenai hasratnya bersemuka dengan individu yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya ,seperti yang diluahkan di Facebook miliknya, baru-baru ini, Aishah berkata:

“Saya bukannya marah tetapi mahu beri peringatan kepada individu terbabit supaya kalau sudah melempar batu, janganlah pula nak sembunyikan tangan.

“Kalau betul dia tak puas hati dengan saya, marilah bersemuka,” katanya yang berniat memberi pengajaran kepada netizen atas apa yang disifatkannya sebagai kes buli siber.

Kedudukan markah

Aishah 81 peratus

Liza Hanim 79 peratus

Lan 70.4 peratus

Hazami 70 peratus

Firman 69 peratus

Tia Jinbara 66 peratus

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (24)