Pakar bedah didakwa kerana ukir nama sendiri pada hati pesakit

14

Foto Rohani Alam Shah.

 

London: Seorang pakar bedah terkenal mengaku bersalah kerana mengukir singkatan namanya pada hati dua pesakit yang dibedahnya pada 2013.

Simon Bramhall, 53, mengaku bersalah atas tuduhan menyerang di sebuah mahkamah di Birmingham dan kini menunggu hukuman dijatuhkan hakim.

Bramhall didakwa mengukir huruf SB pada hati yang dipindahkan kepada pesakit lelaki dan wanita di Hospital Queen Elizabeth di Birmingham.

Dia bekerja di hospital itu selama 12 tahun sebelum meletak jawatan pada 2014.

Tindakan Bramhall terbongkar selepas pesakit berkenaan menjalani pembedahan susulan dan doktor bedah melihat tanda pada hati mereka.

Pendedahan itu menyebabkan Bramhall digantung tugas dan disiasat oleh jawatankuasa disiplin hospital.

Pendakwa raya, Tony Badenoch memberitahu mahkamah, apa yang dilakukan Bramhall bukan sahaja salah dari segi etika tetapi satu perbuatan jenayah.

“Tindakan Bramhall mengukir namanya pada hati pesakit bukan kejadian terpencil kerana dia mengulangi tindakan itu.

“Tindakan itu memerlukan kemahiran dan tumpuan. Ia juga dilakukan di hadapan rakan sekerja lain di dewan bedah,” katanya. – Agensi/Metro

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments