Baju Iron Maiden buruk berharga RM40,000 - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Sat, Dec 16th, 2017

Baju Iron Maiden buruk berharga RM40,000

Foto Rohani Alam Shah.

 

HULU LANGAT – Mungkin ada anggap baju buruk dan bagi mereka yang kurang berminat dengan koleksi barangan klasik, pasti terkejut dengan tawaran empat baju T terpakai hendak dijual dengan harga RM40,000.

Namun, bagi peminat baju-T band rock yang menjadi ‘trend’ sejak 1980-an, ada nilai sentimental dan perjalanan cerita tersendiri pada baju berkenaan.

Meskipun dilihat seperti baju T biasa, hanya pengumpul koleksi baju ‘rare’ tahu nilai sebenar sesuatu baju berdasarkan kualiti, keaslian, jenis dan edisi terhad.

Pengumpul dan penjual, Muhammad Syafiq Azhar, 28, berkata empat baju kumpulan ‘heavy metal’ Iron Maiden miliknya yang hendak dijual dengan harga RM40,000 di laman sosial sejak kelmarin, adalah benar.

Rabu lalu, Syafiq dari Hulu Langat, Selangor, menawarkan empat baju-T band Iron Maiden dengan harga RM40,000 melalui Facebook serta portal perniagaan dan menerima pelbagai reaksi netizen.

Menurutnya, ada pihak mengatakan mengarut namun tidak kurang juga yang membuat rundingan untuk mendapatkan harga lebih murah bagi sehelai baju yang dicetak pada tahun 1982 itu.

“Baju ini untuk pasaran antarabangsa, bukan hanya pengumpul di Malaysia mencarinya. Saya jual mengikut harga pasaran terkini yang mencecah antara RM12,000 hingga RM15,000 sehelai.

“Namun, saya tidak mahu menjual sehelai, jual borong empat helai dengan harga RM40,000.

“Andai tiada siapa mahu beli, saya tidak kisah kerana harga barangan ini akan semakin tinggi pada masa depan, akan jadi lebih ‘rare’,” ketika dihubungi.

Menurut bapa kepada dua anak itu, dia membeli baju berkenaan sehelai demi sehelai kira-kira dua bulan lalu dan menjadi hobinya menjual semula barangan klasik yang dikumpul apabila harga pasaran meningkat.

Bercerita mengenai permulaan hobinya itu, Syafiq berkata dia berminat mengumpul jersi pasukan bola sepak tempatan dan luar negara sekitar 1990-an sejak 2008.

Katanya, minat yang muncul ketika dia masih bersekolah, berkembang apabila turut mengumpul baju lama yang mempunyai nilai sentimental dan diburu pengumpul lain.

“Apabila kita memiliki baju yang asli, edisi terhad dan dicetak pada peristiwa tertentu, ia memberi satu kepuasan kepada pengumpul.

“Sesetengah pengumpul sanggup berhabis ratusan, malah ribuan ringgit untuk mendapatkan barangan klasik yang diidamkan.

“Selain menjadikannya hobi, ia juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan,” katanya yang bekerja dengan syarikat perkapalan. – Metro

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (8)