Trend makanan manis di Kelantan, atas meja gerai disedia balang gula

19

Foto Rohani Alam Shah.

 

ORANG selalu beranggapan, kedai-kedai kopi atau gerai di Kelantan memang menyediakan makanan manis dan akhirnya ia menjadi salah satu faktor penyebab penyakit kencing manis, namun ia sebaliknya pula berlaku.

Bagi pekedai makan, apa yang dimasak atau disediakan termasuk air, tahap kemanisan menu atau minuman itu bergantung kepada permintaan pelanggan.

Di kedai makan Anisa Kubang Kerian, yang menjadikan roti canai ‘gear box’ sebagai tarikan menu utama, pengusahanya siap menyediakan balang gula di atas setiap meja,

memandangkan pelanggan gemar menambahkan gula di dalam kuah rotiw canai mereka.

Ia bukan satu dorongan untuk pelanggan menambah gula, tetapi di kedai roti canai di negeri ini, memang gula perlu disediakan dan terpulang kepada pelanggan untuk ambil gula lebih atau sebaliknya.

Kalau tak letak gula makan dengan roti canai, tak sedap

Bagi pelanggan, Rohani Abdullah, 40, berkata, menjadi tradisi cara makan orang Kelantan gemar letak gula di dalam roti canai.

“Kuah kari atau kacang dal biasanya disediakan tanpa rasa manis, tetapi menjadi tabiat orang Kelantan, dalam kuah roti canai, kena tambah sedikit gula, baru lah rasa manis tu menambah perisa.

“Ada pula sesetengah orang hanya gemar makan dengan gula sahaja, atau susu pekat sahaja. Memang cara pemakanan begini tidak elok untuk kesihatan, namun ia sudah menjadi biasa di sini. Kalau tak letak, rasanya sangat janggal dan kurang sedap,” katanya.

Jual air manis kesukaan ramai

Bagi peniaga air termasuk ais blend di Santai Permai Cafe, Cabang Tiga Pengkalan Chepa, Hafiz Saifuddin Zulkifle, 26, berkata, ais blended teh hijau paling digemari dan bagi ais coklat pula, pelanggan suka letak ais krim atau coklat lebih.

“Sebagai peniaga, kita sediakan air minuman seperti yang ditawarkan, biasanya dalam segelas air letak dua sudu gula sahaja, tetapi ada pelanggan sukakan rasa manis, jadi mereka minta manis lebih.

“Kita cuba memenuhi citarasa pelanggan, jadi tahap manis gula dalam satu-satu minuman itu bergantung kepada cara makan pelanggan, kalau mereka mahu manis dan minta lebihkan gula, saya sebagai peniaga perlulah akur dengan permintaan itu,” katanya.

‘Trend’ orang Kelantan sarapan makan nasi
Sementara itu, peniaga nasi berlauk pagi, Suraaya Hulaimiah Sulaiman, 45, pula berkata, menjadi tradisi masyarakat di Kelantan setiap pagi mereka bersarapan dengan nasi.

“Bagi orang Kelantan, makan nasi itu bagaikan satu kemestian, malah ada satu masa, mereka seolah-olah mencari nasi tersedap di awal pagi, nasi kerabu kambing bakar atau daging bakar, nasi dagang, nasi berlauk dan nasi lemak.

“Kami menjual nasi pagi atas permintaan pelanggan dan terpulang kepada mereka untuk makan nasi pagi atau tidak, sebab itulah saya menyediakan nasi ala Kak Wook ini dari pagi hingga ke petang bagi memberi pilihan kepada mereka,” katanya yang meniaga di hadapan Santai Permai Cafe, Cabang Tiga Pengkalan Chepa. – Sinar

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments