Baitulmaqdis: PM ketuai delegasi Malaysia ke sidang khas

14

Foto Rohani Alam Shah.

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan berlangsung di Istanbul, Turki pada 13 Disember ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri akan diiringi oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan pegawai kanan kerajaan.

“Sidang Kemuncak Luar Biasa itu diadakan atas permintaan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam kapasitinya selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Islam ke-13, berikutan pengumuman Amerika Syarikat (AS) pada 6 Disember 2017, yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel,” katanya.

Sidang Kemuncak itu didahului Mesyuarat Pegawai Kanan hari ini dan diikuti Mesyuarat Majlis Menteri-menteri Luar, esok.

Persidangan itu juga akan mengkaji semula perkembangan dan membincangkan kesan berikutan pengumuman pentadbiran AS untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pembabitan Malaysia dalam sidang kemuncak itu mengukuhkan lagi komitmen dan sokongan tidak berbelah bagi kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka mendapatkan hak mereka untuk sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. – BERNAMA

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments