Dr Vida cuba diperdaya RM30 ribu

53

Image may contain: 1 person

 

IPOH: Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman membuat laporan di Balai Polis Jelapang, sebentar tadi selepas cuba ditipu sebanyak RM30,000 oleh sekumpulan lelaki yang membuat panggilan telefon kepadanya, hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Vida, 46,

berkata lelaki yang mendakwa pegawai sebuah bank meminta nombor kad pengenalannya bagi tujuan pengesahan dan memaklumkan akaun peribadinya dibekukan kerana mempunyai tunggakan pinjaman peribadi bernilai RM30,000 di Cawangan Karamunsing, Kota Kinabalu, Sabah.

Dr Vida berkata, beliau terkejut dengan maklumat itu dan meminta siasatan dilakukan sebelum lelaki berkenaan memaklumkan seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah akan menghubunginya untuk maklumat lanjut.

Katanya, selepas itu beberapa individu berlainan menghubunginya hingga semua perbualan itu berlarutan hampir dua jam.

“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa kerana semua nombor telefon yang tertera memang betul, sama ada dari IPK atau bank serta setiap data peribadi yang dimaklumkan juga tepat.

“Namun, saya mula terkejut sebaik dimaklumkan akaun berkenaan terpaksa dibekukan kerana ada individu menyalahgunakan akaun terbabit bagi aktiviti pengedaran dadah.

“Beberapa panggilan terbabit turut bertanyakan mengenai butiran peribadi, termasuk akaun simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB),” katanya selepas membuat laporan polis berkenaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan sehingga mendedahkan data peribadi.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments