Wanita, lelaki Malaysia paling setia - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Tue, Nov 14th, 2017

Wanita, lelaki Malaysia paling setia

Image may contain: 2 people, people smiling, people standing, outdoor and nature

 

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dikatakan paling setia dari segi emosi ketika bercinta tetapi pemahaman mereka mengenai kecurangan berbeza antara golongan lelaki dan wanita.

Kajian oleh aplikasi janji temu popular di Asia, JustDating juga mendapati wanita meletakkan keutamaan kepada emosi dengan menganggap pasangan mereka curang apabila mula tergila-gilakan wanita lain.

“Biarpun tidak pernah berlaku sebarang sentuhan tubuh dengan ‘orang ketiga,’ wanita tetap menganggap teman lelaki mereka bersikap curang dalam percintaan.

“Sebenarnya, bagi lelaki Malaysia, kecurangan hanya berlaku apabila berlaku sebarang sentuhan tubuh dengan wanita selain teman wanitanya,” kata siaran akhbar yang mendedahkan kajian itu, semalam.

Perkara itu dipersetujui Ketua Seksyen Psikoterapi dan Intervensi Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, yang menyifatkan faktor kepercayaan dan pegangan budaya menguatkan kesetiaan dalam kalangan pasangan lelaki dan wanita di negara ini.

Katanya, nilai dan budaya Timur yang masih kuat diamalkan di negara ini menambahkan lagi kepercayaan mereka untuk terus setia dan kekal dengan pasangan masing-masing.

“Malah, dari sudut spiritual, jika dilihat biarpun ada pasangan bertindak curang, mereka terus mahu memberikan peluang kedua dengan harapan orang disayangi itu mampu berubah ke arah kebaikan.

“Biasanya perempuan lebih cenderung memberikan peluang kedua kerana kebiasaan, selain memiliki sifat setia, mereka juga lebih reda dan bersedia menerima semula kehadiran pasangan.

“Lelaki pula membuat keputusan lebih cepat apabila berlaku sesuatu dengan harapan menyelesaikan perkara dengan segera,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kajian JustDating membabitkan tinjauan terhadap pengguna di Malaysia mengenai pengalaman dalam percintaan.

Keputusan kajian menunjukkan hanya 20 peratus responden mengakui pernah curang atau tidak setia dengan pasangan masing-masing dengan peratusan lelaki 10 mata lebih tinggi berbanding wanita.

Kajian sama terhadap penduduk Taiwan dan Singapura mendapati 20 peratus responden mengakui tidak pernah setia kepada pasangan berbanding penduduk di Indonesia yang menunjukkan peningkatan sebanyak 40 peratus.

Secara kesimpulan, kajian itu mendapati penduduk di Malaysia paling setia dari segi emosi apabila membabitkan soal percintaan.

Siti Fatimah berkata, secara keseluruhan, kesetiaan ditunjukkan pasangan sama ada lelaki atau perempuan bergantung kepada latar belakang sosial termasuk hubungan dengan keluarga, rakan dan pengaruh persekitaran mereka.

“Jika persekitaran mereka positif, sifat dipegang mereka juga turut positif, malah menjadi faktor kepada sejauh mana kesetiaan yang mampu mereka buktikan,” katanya.

Kajian JustDating juga mendapati selain memiliki definisi berbeza membabitkan kecurangan atau tidak setia, golongan lelaki dan wanita berbeza pendapat dalam menangani masalah itu dengan pasangan masing-masing.

“Apabila dikhianati, 50 peratus lelaki di Malaysia menyatakan kesediaan bertolak ansur terhadap kecurangan teman wanita termasuk berbincang dengan pasangan sebelum memaafkan mereka.

“Sebaliknya 70 peratus wanita akan meletakkan syarat jelas dan jika pasangan terbukti tergila-gilakan wanita lain, mereka akan menamatkan hubungan berkenaan serta-merta,” kata kajian terbabit.

Tinjauan dalam talian bertajuk ‘Tabiat dan Pilihan Pasangan’ itu dijalankan aplikasi janji temu bertujuan membantu individu bujang mencari pasangan hidup sesuai.

Keputusan tinjauan berdasarkan 1,000 responden iaitu 500 lelaki dan 500 wanita.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (26)