‘Datuk Seri’ ditahan semula selepas dibebaskan

31

Image may contain: 2 people, people standing

 

KUALA LUMPUR: Selepas dibebaskan setelah membayar wang jaminan bagi pertuduhan kes menyerang dan mencederakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) semalam, ahli perniagaan yang mendakwa dirinya “Datuk Seri” ditahan semula polis berhubung kes dadah.

Liow Soon Hee, 29, ditahan semula sepasukan polis narkotik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, di Mahkamah Sesyen Ampang sejurus membayar wang jaminan berjumlah RM17,000 bagi 4 pertuduhan menyebabkan kecederaan parah, menyerang dan mencederakan 3 anggota Rela iaitu Lee Weng Poh, 27, Melvin Cheong Mun Khai, 21, dan Leong Jun Jie, 21.

Selepas ditahan, Liow dibawa menaiki kenderaan MPV polis dan meninggalkan kompleks mahkamah pada 5 petang semalam untuk dibawa ke IPD Dang Wangi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan semula Liow.

“Dia merupakan individu yang dikehendaki polis berhubung 1 kes jenayah lampau dadah,” katanya.

Terdahulu, Liow mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen itu bagi 4 pertuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini pada 6.30 pagi 27 Oktober lepas.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, 3 anggota Rela itu masing-masing mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu.

Mangsa mendakwa kejadian itu berlaku hanya kerana meminta “Datuk Seri” itu mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments