'Maafkan patik, Tuanku' - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Tue, Oct 17th, 2017

‘Maafkan patik, Tuanku’

Image may contain: 1 person, close-up

 

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin, tampil memohon maaf dan akur dengan titah Sultan Selangor berhubung pelucutan tauliahnya.

Menyifatkan dirinya sebagai rakyat biasa yang menjunjung tinggi institusi diraja, Zamihan berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhak membuat keputusan berkenaan sebagai waliyyul amri atau pemerintah.

Bagaimanapun, bekas pegawai Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) itu mengemukakan hasrat untuk terus berkhidmat dengan cara dan di tempat bersesuaian, selari dengan perjuangan atau dakwah Islam yang tidak pernah terhenti.

Berikut kenyataan penuh Zamihan yang diedarkan kepada media, hari ini:

1. Saya maklum akan keputusan pelucutan tauliah di Selangor seperti mana titah Tuanku Sultan. Sebagai rakyat biasa yang menjunjung tinggi institusi diraja, saya akur dan patuh kepada keputusan dan titah Tuanku Sultan.

2. Begitu juga saya sekali lagi merafak sembah memohon maaf terhadap Tuanku Sultan, sekiranya terguris hati dengan tutur kata saya ketika menyampaikan ceramah agama. Sesungguhnya saya selaku rakyat biasa tiada niat untuk menghina institusi diraja melainkan hanya tanggungjawab menyebarkan syiar Islam.

3. Saya menghormati keputusan Tuanku Sultan dan baginda mempunyai hak serta berhak untuk membuat keputusan tersebut sebagai waliyyul amri ataupun seorang pemerintah.

4. Saya hanya mencurahkan khidmat untuk agama dan ummah, sekiranya khidmat saya dirasakan sudah tidak diperlukan, saya menghormati keputusan tersebut, bagaimanapun saya akan terus berkhidmat dengan cara dan di tempat yang sesuai. Sesungguhnya perjuangan ataupun dakwah Islam tidak pernah terhenti.

5. Oleh itu saya menyeru semua pihak supaya menghentikan adu domba dan sikap ingin melaga-lagakan sesama umat Islam dan ada baiknya kita semua fokus kepada menolak ancaman dan tipu daya golongan yang benci kepada agama Islam dan umat Islam yang sememangnya suka melihat umat Islam bercakaran dan berpecah sesama sendiri.

Semalam, Sultan Sharafuddin berkenan supaya tauliah mengajar di negeri berkenaan yang diberikan kepada Zamihan ditarik balik, manakala keahliannya dalam Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor dibatalkan.

Berikutan itu, baginda turut menitahkan dua perkara yang perlu dilaksana dan dikuatkuasakan semua pengurusan masjid dan surau di Selangor.

Pertama, semua pengurusan masjid dan surau di negeri itu perlu membuat rakaman video setiap ceramah dan kuliah yang diadakan di premis masing-masing.

Ia bagi tujuan merekod dan memantau setiap isi kandungan ceramah supaya mematuhi peruntukan Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dan Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

Selain itu, baginda menitahkan penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah di seluruh Selangor dihadkan di dalam masjid dan surau, bukan di luar kawasan kecuali azan dan bacaan ayat suci al-Quran.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (17)