Penganjur mohon maaf, pukul gendang waktu solat Isyak

44

Image may contain: 4 people

 

KUALA LUMPUR: Isu peserta perarakan memukul gendang dan bermain alat muzik ketika umat Islam menunaikan solat Isyak di sebuah masjid di Pulau Pinang yang tersebar di media sosial, selesai selepas penganjur memohon maaf kepada pihak pengurusan masjid itu.

Pengguna Facebook yang menggunakan nama “Samad Alpacino” memuat naik rakaman video pertemuan wakil penganjur dan pihak pengurusan Masjid Maqbul ke laman media sosialnya.

“Berkenaan perarakan kaum Cina dan pukulan gendang semasa solat Isyak sedang jalan di hadapan Masjid Maqbul Sungai Pinang…

“Penganjur perarakan datang berjumpa kariah masjid, Jawatankuasa Kariah serta Anak Muda Sungai Pinang meminta maaf atas kejadian semalam dan tidak akan mengulangi.

“Haji Elias, pengerusi kariah masjid menasihat supaya pastikan perkara ini tidak berulang,” tulisnya di Facebook beliau.

Dalam video selama 1 minit 37 saat itu, seorang lelaki berbangsa Cina yang dipercayai wakil penganjur dilihat bersalaman dengan wakil masjid.

“Orang Melayu akan kata benda ini biadab, tapi kita tidak mahu kata benda ini biadab, benda ini tersilap. Bila tersilap kita jangan ganggu gugat lagi. Jangan buat perkara-perkara macam ini di masa akan datang.

“Penduduk dalam Pulau Pinang ini berbilang kaum, jadi antara kaum, antara agama, antara bangsa sendiri mahu jaga, bila sendiri jaga, tidak ada perbalahan, tidak ada pergaduhan.

“Jadi, kita masyarakat majmuk, kita berbilang bangsa, kita hormati agama masing-masing, hormati kaum masing-masing, Insya Allah benda ini apa pun tidak akan jadi,” kata lelaki berbaju Melayu berwarna perang dalam video berkenaan.

“Tidak ada apa-apa…kesalahan kami minta maaf,” kata wakil penganjur itu.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments