Ini bukan doktor palsu, digelar doktor kerana mahir baiki dapur gas - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Thu, Oct 12th, 2017

Ini bukan doktor palsu, digelar doktor kerana mahir baiki dapur gas

Image may contain: 2 people, people sitting

 

PASIR MAS – Digelar sebagai ‘doktor dapur’ menjadikan bapa kepada tujuh orang anak ini cukup popular di kalangan penduduk setempat.

Noramil Anuar Mohamad@Yahya, 42, atau lebih dikenali sebagai Mat Min berkata, gelaran tersebut diberikan kerana kemahirannya membaiki dapur gas.

“Sudah 17 tahun saya terlibat dalam bidang ini dan setiap kali berjumpa dengan pelanggan mereka akan memanggil saya dengan gelaran doktor dapur.

“Pada awalnya ia kedengaran lucu tetapi lama kelamaan ia sudah sebati dan saya gembira dengan gelaran tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung Tepi Sungai Tendong di sini.

Menurutnya, kerja membaiki dapur gas bermula ketika di zaman bujangnya hasil dari pemerhatian dan minat semasa membantu arwah ayah, Yahya Isa yang ketika itu bekerja sebagai membaiki dapur gas.

Katanya yang bekerja sebagai pembantu di stor kayu kampung Perakap, permintaan terhadap membaiki dapur gas sangat tinggi, namun ramai yang tidak tahu siapa yang harus mereka temui.

Mat Min berkata, ini kerana ramai yang memilih untuk membuang sahaja dapur gas mereka jika rosak dan membeli yang baharu.

“Semasa arwah ayah masih ada, dia akan memasuki kampung di semua daerah berhampiran seperti Kota Bharu, Melor, Pasir Puteh dan Tumpat untuk bertanyakan pada orang kampung jika dapur gas mereka rosak.

“Pada waktu ini saya hanya berada di rumah sahaja bagi membaiki dapur gas yang rosak manakala ayah akan keluar mencarinya.

“Setiap hari ayah membawa pulang sekitar 10 hingga 13 dapur gas yang rosak dan ianya perlu dibaiki dalam sehari sahaja,” katanya.

Menurutnya, ini kerana keesokan harinya arwah ayah akan menghantar semula dapur gas yang siap dibaiki ke rumah pelanggan mengikut daerah.

Mat Min berkata, namun selepas empat tahun kematian ayahnya itu, kerja-kerja mencari dapur gas di pelosok kampung tidak lagi dilakukan.

Katanya, ramai yang ingat perkhidmatan tersebut sudah tiada walaupun dia masih aktif seperti biasa di sini.

“Kebiasaannya pelanggan akan datang ke rumah atau saya sendiri ke rumah mereka.

“Dari segi upah pula ia bergantung kepada jenis kerosakan namun kebiasaannya cas yang dikenakan hanyalah sekitar RM20 sahaja berserta jaminan sebulan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemahirannya itu, Mat Min berkata, isterinya, Mariatul Kibtiyyah Abdullah, 37, juga mahir berbuat demikian.

Dia berkata, isterinya akan membantu membaiki dapur gas setiap kali mendapat pelanggan yang ramai.

Menurutnya, dengan bantuan tersebut dia boleh menyiapkan empat hingga lima dapur gas sehari. – Sinar

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (25)