Kritik Sultan: Polis siasat Zamihan di bawah Akta Hasutan - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Wed, Oct 11th, 2017

Kritik Sultan: Polis siasat Zamihan di bawah Akta Hasutan

Image may contain: 2 people, glasses

 

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan, susulan laporan mengenai kuliah agamanya mengkritik pendirian Sultan Johor mengenai dobi “mesra Islam” menjadi viral.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis menerima satu laporan yang dibuat terhadap Zamihan, setakat semalam.

“Setakat ini, dia tidak ditahan, tapi kertas siasatan akan dibuka. Setakat semalam, satu laporan polis diterima,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kuliahnya yang dirakamkan hujung minggu lalu dan dimuat naik ke Youtube, Zamihan mempersoalkan kenyataan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bulan lalu yang mengecam pemilik sebuah kedai dobi layan diri di Muar mengamalkan dasar “Mesra Islam”.

Katanya, kenyataan sultan itu “tidak patut”, dan beliau mempertahankan dasar kedai dobi itu kerana pakaian orang bukan Islam masih tidak cukup bersih, malah menganggap orang bukan Islam tidak membersihkan diri selepas membuang air besar.

“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu,” katanya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” kata Zamihan, sambil mencabar rakaman ucapannya ditunjukkan kepada pihak atasan termasuk sultan.

“Silakan! Apa kita nak takut kalau kita bercakap menjunjung kebenaran?” tambahnya.

Bagaimanapun, Zamihan hari ini memohon ampun kepada Sultan Johor dan menyerang beberapa media sambil mendakwa difitnah.

Beliau turut menafikan menggunakan perkataan “kasar” terhadap Sultan Johor.

“Bagaimanapun saya merafak sembah memohon kemaafan seandainya DYMM Tuanku Sultan Johor terasa hati dengan salah faham yang timbul: Ampun Tuanku. Saya juga bersedia mengadap Tuanku Sultan bila-bila masa saja dari sekarang jika diperkenankan DYMM Tuanku untuk memperjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf secara berdepan dari hati ke hati.”

Pada 27 September lalu, Sultan Ibrahim dipetik The Star sebagai berkata, dasar “Mesra Muslim” itu memalukan rakyat negeri Johor.

“Ini bukan negeri Taliban dan sebagai ketua agama Islam di Johor, tindakan ini tidak boleh diterima langsung kerana bersifat ekstremis,” kata Sultan Ibrahim, sambil memberi amaran sebarang bentuk diskriminasi tidak ada tempat di negerinya.

 

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (15)