Ahli politik Warisan, Umno Sabah direman 5 hari kes dana RM1.5 bilion

40

Image may contain: 4 people

 

KOTA KINABALU: Tiga ahli politik Sabah hari ini direman 5 hari untuk siasatan berkaitan salah urus melibatkan dana RM1.5 bilion yang diperuntukkan untuk projek luar bandar di negeri itu.

Ketua Pemuda Parti Warisan Sabah Azis Jamman, Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Umno Tawau, Ariffin Kassim disiasat di bawah Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Azis diwakili pasukan peguam diketuai Martin Tommy, Ariffin oleh Hamid Ismail, Jamawi oleh Arthur Borine, sementara Mohd Faliq Basirudin mewakili SPRM.

Majistret Cindy Balitus membenarkan 5 hari reman, walaupun SPRM meminta mereka diremankan 7 hari.

Azis ditahan selepas kunjungan SPRM ke rumahnya.

Sebelum ini, Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony dan ahli perniagaan Yu Sin Kong direman 5 hari minggu lalu.

Ia berhubung dakwaan salah laku melibatkan ahli perniagaan dan kontraktor di Sabah yang menerima projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang ketika itu dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal, kini presiden Warisan.

Menurut laporan, sebanyak 350 projek di 9 daerah di Sabah, membabitkan dana awam bernilai RM7.5 bilion, dipantau SPRM.

Projek yang terbabit termasuk prasarana air, elektrik dan jalan raya dalam tempoh 2010 hingga 2016, dan dilaksanakan di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments