Ustaz Abdullah Khairi menangis baca talkin buat arwah ibu - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Mon, Oct 9th, 2017

Ustaz Abdullah Khairi menangis baca talkin buat arwah ibu

Image may contain: one or more people and people standing

 

BENAR, setiap yang hidup pasti akan mati. Bagi orang Islam, hanya tiga amalan yang akan dibawa sebagai bekalan untuk bertemu penciptanya, iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa anak yang soleh.

Baru-baru ini, sebuah video seorang pendakwah bebas, Ustaz Abdullah Khairi yang lebih dikenali sebagai UAK membacakan talkin buat ibunda tercinta yang telah pergi buat selamanya, tular di media sosial.

Ibunya, almarhumah Hajah Mek Binti Saleh telah menghembuskan nafas terakhir pada 6 Oktober lalu, jam 4.30 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Bacaan talkin yang menyentuh hati itu mengundang rasa sayu orang ramai yang datang ke majlis pengebumian tersebut, lebih-lebih lagi talkin itu dibaca oleh seorang anak kandung yang pasti sangat terasa akan pemergian ibunda tercinta.

Dalam talkin tersebut, Ustaz Abdullah menyelitkan kebaikan dan amalan-amalan yang telah dilakukan ibunya sepanjang hayatnya di dunia ini. Bukanlah untuk menunjuk tetapi untuk dijadikan iktibar dan teladan buat kita yang masih hidup.

Katanya, amalan-amalan yang dikerjakan dan didikan yang diberi kepadanya serta adik-beradik yang lain menjadikannya insan seperti yang dikenali orang ramai pada hari ini.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan rata-ratanya tersentuh dengan bacaan talkin yang dibaca sendiri oleh anak lelaki si mati.

Ada juga yang menyatakan bacaan talkin seperti ini sepatutnya dicontohi kerana fokusnya bukan pesanan untuk si mati sahaja, malah apa yang diperkatakan ustaz ketika itu boleh diamalkan oleh orang ramai yang mendengar bacaan tersebut.

Dalam pada itu, Ustaz Abdullah turut berterima kasih kepada sahabat-handai dan juga kenalan Facebook yang sudi hadir ke solat jenazah dan membantu dalam urusan pengembumian ibunya itu.

Rasanya apa yang dilakukan oleh Ustaz Abdullah wajar dicontohi buat anak muda sekarang ini dalam menguruskan sendiri jenazah ahli keluarga sendiri yang telah meninggal dan tidak menyerahkannya kepada orang surau sahaja.

Salam takziah buat Ustaz Abdullah Khairi sekeluarga. Semoga roh ibunda tercinta dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (1)