Orang dalam pun nak caras saya: TMJ - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Thu, Oct 5th, 2017

Orang dalam pun nak caras saya: TMJ

Image may contain: 2 people

 

JOHOR BAHRU: Belum tempoh setahun Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memegang jawatan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), sudah ada konspirasi untuk ‘mencarasnya’ dalam jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara.

Tunku Ismail sendiri mendedahkan betapa ada segelintir ahli exco yang bersekongkol yang mahu beliau melepaskan jawatan tertinggi dan ada juga yang cuba mengeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif, Perkongsian Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam.

“Bukan sahaja nak singkirkan dia (Kevin), malah ada yang nak singkirkan saya sebagai Presiden FAM. Ramai dalam FAM yang berangan nak jadi presiden. Saya cakap terus terang.

“Apa yang mereka lakukan dengan meminta media tulis macam-macam dan berharap jika saya dah muak dan akan tinggalkan FAM, maka dapatlah peluang mereka memegang jawatan presiden.

“Ia tidak akan berlaku. Jadi dalam FAM pun ada yang cuba berpolitik, malah yang hendak menaja Liga Malaysia (Liga M) juga ada politik, kononnya hendak buat konsortium sendiri atau syarikat sendiri dan tidak perlu lagi ada FMLLP.” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Kongres Tahunan Kelab Bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama dengan Ahli Kongres JDT, selepas majlis Kongres Kelab Bola Sepak (JDT) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor. – Foto Mohd Azren Jamaludin

Tunku Ismail berkata, apa yang berlaku dan wujudnya konspirasi menjatuhkannya sudah diketahui, namun percubaan itu tidak akan berlaku selagi beliau masih memegang presiden badan induk bola sepak negara.

Tunku Ismail dilantik selaku Presiden FAM selepas dipilih pada Kongres Tahunan FAM, 25 Mac lalu.

Mengulas mengenai kedudukan Kevin, Tunku Ismail menegaskan sesiapa sahaja yang memegang jawatan Presiden FAM, maka ada hak untuk menentukan kedudukan Kevin yang menjalankan tugas dengan baik dan tiada keperluan untuk melantik Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu.

Tunku Ismail juga menegaskan pada musim 2018, pemain tempatan yang muncul penjaring terbanyak walaupun dibayangi dengan kehadiran pemain import bakal mendapat insentif dan ia adalah perancangan FMLLP pada saingan liga bermula musim depan.

“Sudah tentu ada insentif dan ia dalam perancangan FMLLP. Ramai yang cakap habislah nasib pemain anak tempatan, kalau nak semua anak tempatan dan tak perlu pemain import….boleh, dan saya nak tengok berapa jauh yang kita boleh pergi.

“Saya nak tengok berapa jauh yang boleh kita pergi dalam saingan Piala AFC dan saya nak tengok berapa jauh kita boleh pergi dalam liga tempatan…kalau setakat nak menang Piala AFF setiap tahun bolehlah.

“Tetapi apabila pemain nak main lebih jauh, peringkat yang lebih tinggi, pemain harus dikelilingi pemain import yang hebat dan pemain perlu ambilnya sebagai cabaran untuk bersaing dan bukan menyalahkan pemain import,” kata Tunku Ismail.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (1)