Ibrahim Ali ‘kecewa’ takhta ‘raja katak’ dirampas Mat Taib - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Wed, Sep 20th, 2017

Ibrahim Ali ‘kecewa’ takhta ‘raja katak’ dirampas Mat Taib

Image may contain: 1 person, glasses and close-up

 

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata gelaran “raja katak” yang diberikan kepadanya sebelum ini dirampas Tan Sri Muhammad Muhammad Taib susulan kembalinya bekas menteri besar Selangor itu ke pangkuan Umno Ahad lalu.

“Saya agak kecewa sebab gelaran raja katak dah dirampas orang lain,” katanya di sidang media Perkasa hari ini.

Menurut Ibrahim, selain Muhammad atau Mat Taib, pemegang “pingat emas” untuk mereka yang saling bertukar parti ialah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, dan bekas pemimpin PKR, Mohamad Ezam Nor.

“Saya pemegang pingat Perak sekarang dan pingat gangsa pula ada banyak, contohnya macam Presiden Amanah Mohamad Sabu,” katanya sambil ketawa.

Mat Taib keluar Umno untuk menyertai PAS pada April 2013, sebelum menyertai PKR 2 tahun kemudian. Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Mat Taib kembali semula menyertai Umno.

Ibrahim pula kerap diberi jolokan “raja katak” ekoran sejarah politiknya yang berwarna-warni.

Beliau pernah bersama Umno, menyertai serpihannya Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, bertanding atas tiket PAS dan juga menjadi wakil bebas.

Ibrahim sebelum ini berkata beliau akan bertanding sekali lagi di kerusi Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum akan datang.

Mengenai Mat Taib, Ibrahim berkata secara peribadi, Mat Taib berhak menyertai Umno semula.

“Saya nak nyatakan itu hak Tan Srilah, dia nak kembali kepada Umno. Ini kebebasan individu,” katanya.

Ibrahim mengakui terdapat beberapa parti politik yang mempelawanya untuk menyertai mereka.

Namun katanya, beliau tidak berminat menyertai parti tersebut kerana jawatan yang sesuai untuk ditawarkan kepadanya hanyalah sebagai presiden sahaja.

“Saya akui banyak parti politik lamar saya tapi saya susah nak masuk parti sebab semua presiden parti yang ada sekarang ini lebih kurang saya, maknanya saya pun kena jadi presiden juga,” katanya.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (16)