Sultan Johor harap wanita yang berbisik kepadanya tidak diganggu

29

Image may contain: 5 people, hat

 

PETALING JAYA: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berharap polis akan bertindak dengan bijaksana dalam menyiasat seorang wanita atas dakwaan cuba mengganggu pemerintah Johor itu ketika konvoi diraja baru-baru ini.

“Beliau cuba berkata sesuatu di telinga kiri saya tetapi saya tidak dapat mendengar kerana keadaan persekitaran yang bising,” kata Sultan Ibrahim dalam kenyataan di Facebook menafikan tuduhan wanita tersebut menciumnya.

Isnin lalu, seorang wanita bertudung yang kelihatan memegang telefon bimbit di tangan kirinya memeluk bahu Sultan Ibrahim ketika singgah di depan sebuah restoran di Ayer Hitam, Johor sempena program Kembara Mahkota Johor.

Wanita itu dilihat berbisik sesuatu kepada Sultan Johor, sambil diperhatikan orang di sekeliling. Dia bagaimanapun ditahan kemudian oleh polis.

Beberapa kiriman media sosial mengatakan wanita itu berusia 28 tahun dan mengalami gangguan emosi beberapa tahun lalu kerana gagal mencapai keputusan 19A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya memperoleh 18A dan 1B.

FMT tidak dapat mengesahkan perkara itu.

Sultan Johor berkata rakaman video mengenai kejadian itu jelas membuktikan tuduhan wanita itu menciumnya adalah tidak benar.

“Sultan Ibrahim bertitah wanita itu tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah dan meminta polis supaya lebih bijaksana dalam mengendalikan kes ini,” menurut kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Johor.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments