Mufti: Bukan semua ustaz tahfiz bagus, maksum - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Fri, Sep 15th, 2017

Mufti: Bukan semua ustaz tahfiz bagus, maksum

Image may contain: 1 person, sitting, glasses and close-up

 

PETALING JAYA: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menasihati ibu bapa yang ingin menghantar anak ke sekolah tahfiz agar memilih sekolah yang baik, mengikut peraturan dan berkualiti.

“Ibu bapa kena tahu bukan semua yang dipanggil ustaz itu bagus pengetahuan agama dan baik kualiti bahasa Arabnya.

“Lebih daripada itu, gelaran ustaz bukan jaminan kemaksuman seseorang sehingga kita boleh percaya segala yang dia beritahu tanpa penelitian dan siasatan,” katanya melalui catatan di Facebook.

Beliau berkata ada sekolah agama dan tahfiz tidak lengkap dengan keperluan sepatutnya kerana “ustaz” tertentu menubuhkannya untuk tujuan peribadi.

“Ada ‘ustaz’ yang dahulunya gagal dalam pendidikan tetapi membuka sekolah tahfiz tanpa memiliki sijil atau latihan pendidikan yang sepadan, apatah lagi memiliki diploma atau sijil perguruan.

“Akhirnya, mereka menjadi tenaga pengajar yang tidak cukup ilmu dalam bidang pendidikan, kaedah ataupun pedagogi pengajaran.”

Katanya, bagi menjimatkan kos gaji guru, mereka mengambil sesiapa sahaja yang bersedia mengajar sekalipun bukan bidang berkaitan.

Maka tenaga pengajar di sekolah itu, katanya, tidak cekap, tidak berpengalaman kerana dipilih secara “bidan terjun” atau “tangkap muat”.

“Apabila keadaan itu berlaku, maka ada individu yang tidak mahir bahasa Inggeris mengajar subjek bahasa Inggeris, begitu juga matematik, sains, sejarah dan subjek lain.

Beliau menambah, ada tenaga pengajar ini hanyalah pekerja sambilan sementara menunggu peluang pekerjaan lain menyebabkan tahap tanggungjawab mereka rendah.

Asri juga berkata ada pemilik menggunakan nama tahfiz dan agama untuk mengutip derma dan sumbangan. Malah, wang yang disumbangkan itu pula tidak mempunyai jawatankuasa, badan audit atau unit amanah yang mengawalnya.

“Akhirnya jika tidak amanah, pemilik ini mewah dengan sumbangan orang ramai, sementara sekolah mereka dalam keadaan daif,” katanya sambil menambah ada juga sekolah tahfiz menggunakan pelajar untuk mengutip derma.

Beliau turut menyarankan ibu bapa memilih sekolah tahfiz di bawah Kementerian Pendidikan yang diurus tadbir dengan baik dari sudut kualiti pelajaran.

“Ada juga tahfiz swasta yang baik, ini dapat diukur dengan banyak ciri, antaranya kualiti kelulusan guru yang mengajar, sukatan pelajaran dan persekitaran pembelajarannya,” kata Asri.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (17)