Warden maut kebakaran baru seminggu majlis kahwin - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Thu, Sep 14th, 2017

Warden maut kebakaran baru seminggu majlis kahwin

Image may contain: one or more people and people sitting

 

KUALA LUMPUR – Tiada yang lebih menyedihkan buat seorang isteri apabila kehilangan suami tercinta awal pagi tadi selepas baru seminggu melangsungkan majlis perkahwinan mereka.

Namun, itu yang harus ditempuhi Noor Fatihah Osman selepas suami dinikahi pada Mei lalu, Mohd. Amirul Nizam Sokarno, 25, setelah maut dalam kebakaran di bangunan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat.

Noor Fatihah, 23, malah dilihat tidak berhenti menangis ketika ditemui media tempatan di lokasi kejadian serta enggan ditemu bual pemberita. Allahyarham suaminya merupakan seorang warden pusat tahfiz berkenaan.

Sementara itu, ibu saudara Noor Fatihah, Asmah Yaakob, 50, berkata, anak saudaranya dikejutkan dengan berita tersebut kira-kira jam 6 pagi sebelum bergegas ke lokasi dari hostelnya di Universiti Sains Islam Malaysia.

“Selalunya dia (Mohd. Amirul Nizam) akan telefon anak saudara saya untuk kejutkan dia bangun waktu Subuh tapi hari ini dia tak telefon. Noor Fatihah juga cuba menelefon suaminya tapi tidak berjawab.

“Saya sebenarnya juga tidak menyangka bahawa perkara buruk ini terjadi kepada dirinya,” kata Asmah dalam nada sebak ketika ditemui wartawan di lokasi kejadian tersebut di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang kakitangan pusat tahfiz berkenaan, Mohd. Arif Mawardy, 24, berkata, pada awalnya dia terdengar bunyi kuat seperti ribut di luar bangunan tiga tingkat tersebut.

“Saya terjaga dan lihat keluar tingkap namun bukan ribut dan saya terkejut nampak kepulan asap di tingkat tiga. Kemudian saya dengar suara dari tingkat atas menjerit supaya selamatkan diri kerana berlaku kebakaran,” ujarnya.

Mohd. Arif berkata, dia ketika itu berada di tingkat dua bangunan itu bersama tiga lagi guru cuba menyelamatkan pelajar di asrama yang terletak di tingkat tiga dengan bantuan penduduk setempat namun tidak berjaya.

Setakat ini, seramai 22 pelajar dan 2 tenaga pengajar disahkan terkorban dalam insiden tragik tersebut yang dilapor berlaku sekitar jam 5 pagi manakala 14 murid lagi terselamat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (9)