'Amanat Hadi’ punca tragedi Memali berlaku, kata Dr M - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Fri, Aug 25th, 2017

‘Amanat Hadi’ punca tragedi Memali berlaku, kata Dr M

Image may contain: 2 people, people smiling, glasses

 

MACHANG: Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahkan pengikut guru agama, Ibrahim Mahmud terlalu taasub dengan “Amanat Hadi” sebagai punca 18 orang terbunuh dalam tragedi Memali pada November 1985.

Beliau yang juga perdana menteri ketika itu sekali lagi mempertahankan tindakan polis menembak pengikut Ibrahim yang dikehendaki pihak berkuasa, selepas diserang penduduk Kampung Memali dalam peristiwa berdarah itu.

“Kalau ada orang yang mendesak pengikut dia (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), suruh bunuh orang itulah akibatnya. Kita tahu ia bermula dengan desakan daripada pemimpin yang menjanjikan syurga dan sebagainya.

“Orang ini (mangsa Memali) melakukan perbuatan jenayah membunuh polis, saya fikir kalau tak bunuh polis, polis tak akan tembak balik,” katanya selepas merasmikan penubuhan Pakatan Harapan Kelantan hari ini.

“Amanat Hadi” merujuk ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 7 April 1981, ketika beliau menjadi pesuruhjaya PAS Terengganu. Petikan ucapan itu kerap dibidas Umno kerana didakwa mengkafirkan ahli parti komponen terbesar BN itu.

Selasa lalu, bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor mendakwa “Amanat Hadi” memberi inspirasi kepada ahli PAS di seluruh negara, termasuk Ibrahim yang menubuhkan sebuah kumpulan militan dengan matlamat melangkaui perjuangan politik.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan menuding jari ke arah Hadi yang menganggap mangsa korban dalam tragedi 32 tahun lalu itu sebagai mati syahid.

“Dia desak orang PAS supaya menjadi pemati syahid dengan membunuh orang lain, tapi dia kata orang lain itu bukan Islamlah, saya ni bukan Islamlah.

“Ajaran Hadi (Amanat Hadi) kata kita kafirkan mereka dan kita bunuh mereka, oleh itu berlakulah Memali,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, beliau sedia memberi keterangan jika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat Memali.

“Sekarang ini saya minta supaya saya diberi peluang untuk menjelaskan apa yang berlaku, kalau ada RCI Memali, saya harap mereka panggil (saya), bagi peluang kepada saya dedahkan apa yang berlaku.”

Tragedi Memali kembali hangat dibincangkan selepas soalan mengenainya dibangkitkan pada forum “Nothing to Hide 2.0” anjuran PPBM yang dihadiri Dr Mahathir pada 13 Ogos lalu.

Tragedi Memali tercetus selepas penduduk kampung di Baling, Kedah itu cuba mempertahankan Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya daripada ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan menyebarkan ajaran sesat.

PAS ketika itu menolak dakwaan terhadap Ibrahim yang turut terkorban bersama 13 pengikutnya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan RCI mengenai Memali ditubuhkan, cadangan yang menerima sokongan kuat pimpinan PAS.

Ia turut dialu-alukan pimpinan Pakatan Harapan lain, termasuk Dr Mahathir dan bekas timbalannya, Tun Musa Hitam yang dipertanggungjawabkan menangkap Ibrahim.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (15)