Tayar 'terbang' hempap suami isteri - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Fri, Aug 11th, 2017

Tayar ‘terbang’ hempap suami isteri

 

KUALA PILAH: Sepasang suami isteri maut apabila motosikal yang mereka tunggang dirempuh dua biji tayar yang tercabut dari sebuah lori pasir di Jalan Kuala Pilah-Juasseh di sini, hari ini.

Dalam kejadian berhampiran Ladang Juasseh, kira-kira jam 10.55 pagi itu, Azizan Sahari, 43, dan isteri, Norbaiti Awang, 44, dalam perjalanan pulang dari Klinik Kesihatan Juasseh ke rumah di Taman Putra, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Mereka yang menunggang Yamaha Ego, dipercayai tidak sempat mengelak dua biji tayar belakang sebuah lori dan mati di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abd Wahab, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

 

“Polis sudah mengambil kenyataan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, kakak Norbaiti, Zainon Awang, 54, berkata adiknya bersama suami ke Klinik Kesihatan Juasseh kerana mengadu sesak nafas.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas mendapat panggilan daripada jiran. Pada mulanya, saya sangka hanya kemalangan biasa, namun sebaik tiba di tempat kejadian, saya terkejut melihat mereka berdua sudah tidak bernyawa,” katanya.

Zainon berkata, pasangan berkenaan meninggalkan lima anak berusia antara 12 hingga 22 tahun dan ahli keluarganya akan berbincang untuk menjaga mereka.

Katanya, dua anak adiknya itu menuntut di universiti awam, manakala tiga lagi bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Norbaiti, anak bongsu daripada lapan beradik adalah pekerja pembersihan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol, manakala suaminya bekerja kampung,” katanya.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (14)