Buru kumpulan ateis habis-habisan - Shahidan - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Tue, Aug 8th, 2017

Buru kumpulan ateis habis-habisan – Shahidan

Image may contain: 1 person

 

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa memburu kumpulan ateis di negara ini habis-habisan, susulan dakwaan kewujudan Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang viral di laman media sosial, baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata gesaan itu kerana ideologi ateis adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, selain undang-undang berkaitan agama Islam di semua negeri.

Bagaimanapun, katanya, usaha memburu kumpulan ateis ini perlu dilaksanakan secara berhemah supaya tidak berlaku kekecohan, yang boleh menimbulkan rasa simpati kepada mereka, selain mempopularkan ideologi yang menolak kewujudan tuhan itu.

“Semua (kerajaan) negeri juga harus memburu mereka kerana negara ini adalah negara yang beragama, sama ada Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Tak ada yang tidak beragama.

“Dalam Perlembagaan juga menyebut Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain dibenarkan diamalkan dengan aman dan damai. Tidak sebut pun ateis. Mereka melanggar Perlembagaan.

“Saya cadangkan buru habis-habisan, manakala media perlu tolong kami untuk mengenal pasti mereka ini,” katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kewujudan akaun media sosial kumpulan ateis di laman sosial Facebook.

Ateis merujuk kepada individu yang tidak percaya kewujudan tuhan serta tidak mempunyai pegangan agama.

Shahidan berkata, di samping memburu mereka, pihak berkuasa, khususnya Majlis Agama Islam negeri perlu memperbetulkan akidah mereka jika membabitkan orang Islam.

Katanya, beliau percaya kebanyakan individu menjadi ateis kerana kekurangan ilmu agama, sekali gus mudah terpesong dengan pemikiran baharu.

“Di akhirat nanti, kita akan dipersoal adakah kita telah bagi penjelasan sewajarnya kepada mereka. Jadi mufti dan kerajaan negeri perlu beri perhatian walaupun mereka ini jumlahnya sedikit,” katanya.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (16)