Jamal akan dedah kelayakannya untuk ketuai Pemuda Umno

17

Image may contain: 1 person

 

SUNGAI BULOH: Datuk Seri Jamal Yunos berjanji akan mendedahkan kelayakan akademiknya, Ahad ini, untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno bagi menggantikan Khairy Jamaluddin yang berhasrat berundur.

“Saya akan jawab pada 23 Julai ini di perasmian Pemuda Umno Pandan di Hotel Flamingo, Ampang. Saya akan tunjukkan profil saya semua di sana,” katanya pada sidang media selepas menaiki MRT selama sejam dari Stesen Kajang ke Sungai Buloh, hari ini.

Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu berkata, setiap individu mempunyai kelebihan masing-masing dan berhak menawarkan diri mengetuai sayap Umno itu walaupun tidak memiliki kelulusan Universiti Oxford.

“Masing-masing ada kelebihan, semua pemimpin ada kelebihan dan saya tak pernah perlekeh Khairy.

“Saya hormat beliau sebagai tokoh orang muda dan ketua Pemuda dalam negara ini. Beliau ada kejayaan sendiri, tetapi sesiapa pun boleh menawarkan diri.

“Saya rasa saya pun ada hak menawarkan diri sebagai calon ketua Pemuda Umno sebab dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno sebalum ini, Khairy kata ini penggal terakhir beliau.”

Ahad lalu, Jamal menyuarakan hasratnya memimpin Pemuda Umno, jika Khairy melepaskan jawatannya.

Katanya, langkah itu antara pilihannya jika tidak dicalonkan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-14.

Ahli politik yang terkenal dengan gimik tunjuk perasaan terhadap kerajaan Selangor itu mendapat sokongan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz tetapi disindir parti pembangkang.

 

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments