Kerajaan batal cadangan kenakan GST untuk 60 barang makanan - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Mon, Jun 19th, 2017

Kerajaan batal cadangan kenakan GST untuk 60 barang makanan

Image may contain: food

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini membatalkan hasrat mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas lebih 60 barangan makanan, menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Subromaniam Tholasy memberitahu FMT, pihaknya membuat keputusan itu selepas berbincang dengan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, laporan media itu berdasarkan Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No.2) 2017 yang diwartakan pada 6 Jun lalu.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklumbalas dan telah membuat keputusan supaya P.U. (A) 162 Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No. 2) 2017 dibatalkan,” kata Subromaniam dalam kenyataan.

Sebelum ini, China Press memetik Subromaniam sebagai berkata lebih daripada 60 barang makanan akan dikenakan GST, termasuk beberapa jenis makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah dan mi, mulai Julai 1.

Makanan laut termasuk belut dan ikan todak, manakala buah-buahan diimport seperti avokado, buah ara, anggur, buah pic, ceri dan beri akan dikenakan 6% cukai.

Di bawah kategori sayur-sayuran pula, laporan itu menyebut kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis akan mula dikenakan GST.

Kerajaan memperkenalkan GST 6% ke atas barangan dan perkhidmatan pada April 2015.

Ketika membentangkan Bajet 2015 pada Oktober 2014, Datuk Seri Najib Razak membutirkan beberapa barang makanan yang dikecualikan GST.

Antaranya ialah semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport, roti putih dan roti wholemeal, serbuk kopi, serbuk teh dan serbuk koko, dan mi kuning, kuey tiau, laksa dan bihun.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (30)