DAP tidak setuju PPBM pegang 2 jawatan tertinggi PH - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Wed, Jun 14th, 2017

DAP tidak setuju PPBM pegang 2 jawatan tertinggi PH

Image may contain: 3 people, text

 

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mematikan laporan mengenai cadangan PPBM yang dikatakan mahu 2 jawatan tertinggi dalam saf kepimpinan Pakatan Harapan diberikan kepada mereka.

“Saya tidak bersetuju jawatan pengerusi dan presiden Pakatan Harapan dipegang pemimpin PPBM,” kata Lim pada sidang media hari ini.

Lim mengulas laporan MalayMail Online minggu lepas yang memetik seorang pemimpin PH yang tidak dinamakan.

Pemimpin itu berkata PPBM mencadangkan pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai pengerusi dan presiden Pakatan Harapan, sementara bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai penasihat.

Parti yang tidak sampai setahun itu didakwa mencadangkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan pengerusi, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sebagai timbalan presiden, serta Lim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai naib presiden.

PPBM secara rasmi menyertai PH Mac lepas.

Timbalan presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir minggu lepas menepis carta organisasi yang menyenaraikan Dr Mahathir dan Muhyiddin di kedudukan tertinggi sebagai palsu.

“Kita ada senarai barisan kepimpinan yang berbeza dengan apa yang disebarkan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH.

Saf kepimpinan PH yang dipersetujui dijangka dikeluarkan minggu ini tanpa menamakan calon perdana menteri mereka sekiranya pakatan itu menang pilihan raya umum ke-14.

Lim berkata jika Dr Mahathir sedia menyertai mereka yang melawan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional, maka pemimpin berusia 92 tahun itu patut diberi peranan penting dalam PH.

“Kami rasa kalau kamu mahu menang pilihan raya umum akan datang, kamu perlu satukan mereka yang mahu lawan dan mengambil risiko menentang BN.

“Kalau beliau sedia, maka dia patut diberi peranan penting bersama Wan Azizah, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu. Lagipun, beliau bekas perdana menteri.”

Bagaimanapun, Lim berkata Anwar masih calon perdana menteri itu, walaupun seseorang perlu memegang jawatan itu buat sementara waktu sehingga halangan undang-undang diatasi.

“Kita mesti terima Anwar tidak boleh jadi perdana menteri serta merta, tetapi beliau masih relevan dan kita masih menyokong beliau sebagai calon perdana menteri kita.”

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (14)